HomeUtamaADUN Petagas ambil tindakan selesai isu bekalan air Kondominium Kingfisher

ADUN Petagas ambil tindakan selesai isu bekalan air Kondominium Kingfisher

Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas mengambil tindakan segera mengadakan pertemuan dengan penduduk, pihak pengurusan Kondominium Kingfisher, Jabatan Air serta Pejabat Daerah Putatan bagi mencari penyelesaian terhadap isu gangguan bekalan air yang sekian lama membelenggu kawasan perumahan itu.

ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, pertemuan itu diadakan susulan aduan rasmi yang diterimanya minggu lalu bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi penduduk serta menyelaras tindakan segera untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan air.

Katanya, masalah bekalan air di Kondominium Kingfisher berada pada tahap kritikal sekitar April hingga Mei lalu sehingga memaksa penduduk mendapatkan bekalan daripada pembekal air swasta.

“Penduduk terpaksa membeli air daripada syarikat swasta dengan kos yang tinggi. Ada yang membayar lebih RM900 bagi satu trip lori pada kadar RM7.50 bagi setiap meter padu. Sudah tentu ia menjadi beban kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkaitan gangguan bekalan air di Kondominium Kingfisher, pada Jumaat.

Beliau berkata, isu berkenaan turut dibangkitkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri pada 21 Julai lalu sebelum meminta pegawainya berhubung dengan Pejabat Daerah Putatan bagi mengadakan sesi libat urus bersama semua pihak berkaitan.

Menurutnya, berdasarkan laporan terkini, keadaan bekalan air di kawasan berkenaan semakin bertambah baik sejak seminggu lalu dan kini hampir mencukupi bagi memenuhi keperluan harian penduduk.

Beliau berkata, penambahbaikan itu dipercayai hasil pelarasan injap (valve) paip oleh Jabatan Air yang membolehkan lebih banyak bekalan disalurkan ke kawasan perumahan berkenaan.

“Bagaimanapun, ini hanya penyelesaian sementara kerana apabila lebih banyak air disalurkan ke satu kawasan, kawasan lain mungkin menerima bekalan yang berkurangan.

“Kita berharap penyelesaian jangka panjang dapat direalisasikan apabila Loji Rawatan Air Papar siap dan mula beroperasi sekitar November nanti,” katanya.

Awang Ahmad Sah berkata, selain Loji Rawatan Air Papar, kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Kasigui juga akan membantu meningkatkan kapasiti bekalan air sebanyak 12,000 meter padu.

Katanya, Loji Rawatan Air Papar pula dijangka menyumbang tambahan kira-kira 35 juta liter sehari, sekali gus meningkatkan kecekapan bekalan air di kawasan Kingfisher, Duvanson, Ketiau dan Serigai.

Mengulas kebimbangan penduduk mengenai pertambahan pesat pembangunan perumahan di Putatan, beliau mengakui keadaan itu akan meningkatkan permintaan terhadap bekalan air serta kemudahan awam lain.

Sehubungan itu, katanya, perancangan menyeluruh perlu dilaksanakan bersama Pejabat Daerah Putatan, Majlis Daerah Putatan, Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya dan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shah Alfie Yahya, bagi memastikan pembangunan baharu disertai penyediaan infrastruktur yang mencukupi.

“Kita mahu memastikan aspek bekalan air, jalan raya, lampu isyarat serta kelancaran trafik dapat dirancang dengan lebih berkesan selaras dengan pertumbuhan pembangunan di Putatan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lagi insiden buli di sekolah, peguam gesa tindakan segera

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular