HomeUtamaBICAM lancar Inisiatif Mediasi Pro Bono, perluas akses kepada keadilan

BICAM lancar Inisiatif Mediasi Pro Bono, perluas akses kepada keadilan

Read Time:2 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Pelancaran Inisiatif Mediasi Pro Bono oleh Pusat Timbang Tara dan Mediasi Antarabangsa Borneo (BICAM) disifatkan sebagai satu langkah penting dalam memperluaskan akses kepada keadilan, di samping memperkukuhkan ekosistem penyelesaian pertikaian alternatif (ADR) di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, inisiatif berkenaan membolehkan individu dan perusahaan kecil yang berdepan kekangan kewangan mendapatkan khidmat mediasi profesional bagi menyelesaikan pertikaian secara lebih cepat, kos efektif dan harmoni.

Beliau berkata, penyelesaian pertikaian yang cekap bukan sekadar memberi manfaat kepada pihak yang terbabit, malah menjadi elemen penting dalam membentuk persekitaran perniagaan yang stabil dan diyakini pelabur.

“Apabila pertikaian dapat diselesaikan secara lebih awal dan berkesan, ia bukan sahaja mengurangkan beban kepada sistem kehakiman, malah membantu individu serta perniagaan meneruskan aktiviti mereka tanpa berdepan kos dan kelewatan yang berpanjangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Inisiatif Mediasi Pro Bono sempena BICAM Global ADR Horizons 2026, di sini, pada Jumaat.

Masidi berkata, akses kepada keadilan tidak sepatutnya bergantung kepada kemampuan kewangan seseorang kerana pertikaian yang berlarutan boleh memberi kesan kepada mata pencarian, operasi syarikat, perniagaan keluarga, kontraktor, pembekal dan masyarakat.

Menurut beliau, inisiatif yang diwujudkan melalui kerjasama pihak mahkamah bersama komuniti perundangan dan pengamal mediasi itu akan melengkapkan proses kehakiman sedia ada dengan menggalakkan penyelesaian secara rundingan sebelum sesuatu kes dibawa ke peringkat litigasi.

Katanya, pendekatan mediasi memberi peluang kepada setiap pihak menyuarakan pandangan dalam suasana yang lebih terbuka, selain membantu mengekalkan hubungan dan menghasilkan penyelesaian yang mengambil kira hak undang-undang, realiti komersial serta kepentingan semua pihak.

“Mediasi merupakan pendekatan yang praktikal, berperikemanusiaan dan berpandangan jauh kerana ia memberi ruang kepada semua pihak untuk didengar serta membolehkan penyelesaian dicapai secara baik dan bermaruah,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mediator dan pengamal undang-undang yang menyumbangkan kepakaran mereka secara pro bono, sambil menyifatkan usaha itu sebagai cerminan integriti profesion perundangan dan komitmen terhadap kepentingan masyarakat.

Masidi berkata, pembangunan BICAM juga mempunyai nilai strategik kepada Sabah kerana kewujudan institusi timbang tara dan mediasi yang bebas serta berwibawa mampu meningkatkan keyakinan pelabur dan menyediakan kepastian kepada komuniti perniagaan.

Menurutnya, faktor tersebut menjadi semakin penting ketika Sabah giat menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh BICAM, namun pada masa sama kebebasan institusi itu perlu dipelihara supaya kredibiliti dan kepercayaan terhadap sistem penyelesaian pertikaiannya terus kekal.

“Penyelesaian pertikaian yang berkesan bukan sekadar suatu perkhidmatan perundangan. Ia merupakan sebahagian daripada asas kepada keyakinan ekonomi, tadbir urus yang baik dan pembangunan mampan,” katanya.

BICAM Global ADR Horizons 2026 menghimpunkan hakim, penimbang tara, mediator, pengamal undang-undang, pemimpin industri, ahli akademik dan wakil institusi dari dalam serta luar negara bagi membincangkan perkembangan semasa dalam timbang tara antarabangsa, pertikaian pelaburan dan pembinaan, penggunaan kecerdasan buatan (AI), serta hala tuju penyelesaian pertikaian alternatif yang semakin berkembang di peringkat serantau.

RELATED ARTICLES
Utama

180 pelajar Sabah cemerlang STPM, MUET bukti mampu bersaing di peringkat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular