HomeUtamaDBKK roboh 40 struktur setinggan haram di tanah miliknya

DBKK roboh 40 struktur setinggan haram di tanah miliknya

Read Time:1 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 40 struktur setinggan haram yang dibina di atas tanah milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dirobohkan menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu bagi membanteras pencerobohan tanah kerajaan dan penempatan haram.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi perobohan itu dilaksanakan pada 20 Julai lalu menerusi Bahagian Pencerobohan dan Struktur Haram, Jabatan Penguatkuasaan.

“Sebelum operasi dijalankan, sebanyak 40 Notis Pengosongan, Pengalihan dan Perobohan telah diserahkan kepada penghuni struktur setinggan di kawasan berkenaan pada 11 Julai 2026 sebagai tindakan awal penguatkuasaan.

“Hasil operasi bersepadu yang dijalankan pada 20 Julai, kesemua 40 struktur setinggan haram yang dikenal pasti berjaya dirobohkan mengikut peruntukan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama beberapa agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Air Negeri Sabah serta Sabah Electricity bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar dan teratur.

DBKK menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan tanah kerajaan atau pembinaan struktur haram di kawasan pentadbirannya.

Menurut kenyataan itu, tindakan penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kawasan yang telah dibersihkan tidak diceroboh semula atau dijadikan penempatan setinggan haram.

“DBKK akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pencerobohan atau membina struktur tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan,” menurut kenyataan itu.

DBKK turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang dan tidak mendirikan sebarang struktur tanpa kelulusan pihak berkuasa bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil pada masa hadapan.

RELATED ARTICLES
Utama

BICAM lancar Inisiatif Mediasi Pro Bono, perluas akses kepada keadilan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular