KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperhebat usaha memantapkan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid pemulihan khas menerusi Bengkel Training of Trainers (ToT) Pembantu Pengajar Program Anak Kita (PAK) 2026: Pemerkasaan 3M Murid Pemulihan Sabah.
Program yang dikendalikan Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS) UMS di Mini Auditorium FPPS, baru-baru ini disertai seramai 117 orang pembantu pengajar.
Program tersebut antara lain bertujuan melengkapkan peserta dengan pengetahuan, kemahiran pedagogi dan profesionalisme sebagai persediaan sebelum ditempatkan di 62 buah sekolah di seluruh Sabah.

Ketua Penyelidik PAK 2026, Dr. Juppri Bacotang berkata, bengkel berkenaan menjadi platform penting bagi memastikan setiap pembantu pengajar memahami peranan mereka sebagai rakan sokongan kepada Guru Pemulihan Khas dalam melaksanakan intervensi kemahiran asas 3M secara sistematik, berkesan dan berpandukan pendekatan pedagogi yang sesuai.
“Pembantu pengajar bukan sahaja membantu guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, malah berperanan sebagai pemudah cara yang menyokong perkembangan murid melalui pendekatan yang kreatif, interaktif dan berorientasikan murid.
“Latihan ini memastikan mereka bersedia dari aspek pengetahuan, kemahiran dan etika profesional sebelum memulakan penempatan di sekolah,” katanya.
Program itu katanya menyasarkan seramai 1,948 murid pemulihan khas Tahun 2 di 62 sekolah dengan melibatkan 15 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh Sabah, di samping memperkukuh kompetensi 62 Guru Pemulihan Khas menerusi latihan dalam perkhidmatan (LDP) dan penggunaan Modul CERIA 3M Sabah.
Program berkenaan merupakan inisiatif strategik hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang diterajui oleh Unit Pantau MADANI serta Yayasan Hasanah, dengan Persatuan Himpunan Ilmuan Universiti Malaysia Sabah (HIUMS) sebagai rakan pelaksana dalam menjayakan pelaksanaan program berkenaan di negeri ini.
Menerusi inisiatif tersebut, UMS komited dalam menyokong agenda pendidikan pemulihan khas melalui pendekatan kolaboratif yang berterusan, sekali gus memperkukuh usaha meningkatkan penguasaan asas 3M murid di Sabah.
Turut terlibat dalam menjayakan program itu ialah barisan penyelidik yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Abd. Aziz Rekan, Profesor Dr. Sabariah Sharif, Profesor Emeritus Dr. Vincent Pang Ah Fook, Profesor Madya Dr. Soon Singh Bikar Singh dan Dr. Mohd Zafaren Zakaria, dengan sokongan penyelarasan daripada Anilah Md. Sidi dan Sherene Jessy Johnis Michael selaku Pembantu Penyelidik.



