TAWAU : Kejadian banjir yang melanda daerah ini telah menjejaskan operasi beberapa Loji Rawatan Air (LRA), termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Apas Balung 1 dan 2, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 5,578 akaun pengguna di daerah itu.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata Jabatan Air Sabah mengambil maklum kesulitan yang dihadapi pengguna dan sedang melaksanakan pelbagai tindakan segera bagi memulihkan bekalan air secepat mungkin.
Beliau berkata, banjir berkenaan turut menjejaskan operasi LRA Utara dan LRA Cinta Mata, namun kedua-dua loji itu kini telah kembali beroperasi, manakala pengeluaran air terawat sedang dipertingkatkan secara berperingkat bagi membantu menstabilkan bekalan kepada pengguna.

Menurutnya, LRA Apas Balung 1 dan 2 terpaksa dihentikan sementara selepas kawasan loji ditenggelami air sepenuhnya sehingga mengakibatkan kerosakan terhadap kemudahan serta komponen utama mekanikal dan elektrikal (M&E).
“Pasukan operasi dan teknikal Jabatan Air Bahagian Tawau kini sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh, kerja-kerja pembersihan loji serta pembaikan komponen yang terjejas bagi memastikan operasi LRA Apas Balung 1 dan 2 dapat disambung semula dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, bagi mengurangkan impak gangguan bekalan air, Jabatan Air Bahagian Tawau turut mengaktifkan pelan mitigasi sementara dengan menghantar bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan yang terjejas.
Dr. Joachim berkata, Jabatan Air Sabah memberi jaminan bahawa segala usaha sedang dipergiatkan bagi mempercepatkan proses pemulihan dan memastikan sistem bekalan air kembali stabil dalam kadar segera.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberi perhatian terhadap penyelesaian jangka panjang menerusi pelaksanaan Projek Skim Bekalan Air Fasa III – Reka Bentuk dan Pembinaan Empangan Tawau, yang dijangka siap pada Oktober tahun depan.
Katanya, projek berkenaan bukan sahaja akan memperkukuh sistem bekalan air di daerah Tawau, malah meningkatkan keupayaan kawalan banjir bagi menjamin bekalan air yang lebih mampan pada masa hadapan.
Beliau menegaskan Jabatan Air Bahagian Tawau akan terus memantau situasi secara berterusan dan memastikan segala tindakan pemulihan dilaksanakan sehingga operasi semua loji kembali pulih sepenuhnya.
Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengguna atas kesabaran, kerjasama dan kefahaman yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air, sambil memaklumkan sebarang perkembangan terkini akan disalurkan menerusi saluran rasmi Jabatan Air Sabah.



