KUALA LUMPUR, Malaysia bersedia menyambut kembali perlumbaan Formula 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun ini menerusi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, sekali gus memperkukuh hubungan strategik antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu dizahirkan susulan perbualannya dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Duli Yang Teramat Mulia Putera Salman bin Hamad Al Khalifa, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali.
Menerusi hantaran di Facebook pada Ahad, beliau merakamkan penghargaan kepada Putera Salman, kerajaan dan rakyat Bahrain atas kepercayaan serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia untuk menyokong Bahrain, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menjayakan penganjuran perlumbaan berprestij itu di Sepang.
“Kerjasama ini bukan sekadar penganjuran acara sukan bertaraf dunia, malah mencerminkan persahabatan yang berkekalan, kepercayaan bersama serta hubungan erat antara Malaysia dan Kerajaan Bahrain,” katanya.
Anwar berkata, kerjasama tersebut turut mengesahkan kesiapsiagaan serta keupayaan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara antarabangsa berskala besar.
Beliau berkata Malaysia bersedia mengalu-alukan kepulangan Formula 1, FIA, pasukan-pasukan bertanding serta peminat sukan permotoran dari seluruh dunia ke Litar Antarabangsa Sepang.
Menurutnya, penganjuran itu juga akan menjadi platform untuk mempamerkan infrastruktur bertaraf dunia, kecemerlangan operasi dan layanan mesra Malaysia, di samping mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain menerusi acara istimewa berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Formula 1 menerusi pengumuman rasminya mengesahkan perlumbaan itu akan mengekalkan nama Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix, namun dianjurkan di Malaysia sebagai Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix in Malaysia.
Perlumbaan berkenaan dijadual berlangsung di antara Grand Prix Azerbaijan dan Grand Prix Singapura, manakala baki kalendar F1 musim 2026 kekal tidak berubah.
Pengumuman rasmi itu turut mendapat sambutan daripada beberapa pasukan ternama Formula 1 termasuk Ferrari dan Mercedes, yang memuat naik hantaran di platform media sosial masing-masing mengenai kembalinya perlumbaan Formula 1 ke Sepang selepas sembilan tahun.
Sementara itu, laporan media antarabangsa menyatakan Bahrain dijangka menanggung sebahagian besar kos penganjuran perlumbaan berkenaan, susulan pembatalan perlumbaan asal di Sakhir akibat konflik serantau di Timur Tengah.
Langkah itu membolehkan Formula 1 mengekalkan jumlah perlumbaan dalam kalendar musim 2026, tertakluk kepada kelulusan akhir FIA



