PAPAR: Warisan anyaman Siung Papar diperkasa menerusi usaha melahirkan lebih ramai penganyam baharu bagi memastikan seni tradisi masyarakat Kadazan Papar diwariskan kepada generasi akan datang.
Usaha itu diterjemahkan menerusi Bengkel Anyaman Siung Papar yang berlangsung selama lapan hari di Dewan Terbuka Pohumpung Nature Breeze Trail (PNBT), Kampung Biau, dengan penyertaan 10 wanita dari sekitar daerah ini.
Bengkel berkenaan dianjurkan Persatuan Masyarakat Prihatin Papar (PaparCare4U) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah dan PNBT.
Sepanjang bengkel, peserta dibimbing oleh jurulatih berpengalaman, Margaret Kiat dari Kampung Sabandil, Papar, yang berkongsi ilmu mengenai pemilihan buluh, penyediaan bahan serta teknik anyaman Siung Papar.

Majlis penutupan bengkel itu disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim.
Dalam ucapannya, Juil menyatakan sokongan penuh terhadap usaha memelihara dan memperkasakan warisan anyaman Siung Papar sebagai identiti masyarakat Kadazan Papar.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha pemuliharaan warisan budaya melalui bantuan dan peruntukan yang bersesuaian supaya program seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Bengkel Anyaman Siung Papar bukan sahaja berperanan memelihara seni warisan tradisi, malah berpotensi menjana ekonomi komuniti menerusi industri kraftangan dan pelancongan budaya,” katanya.
Sementara itu, wakil Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, Peter Jack, berkata tanggungjawab jabatan bukan sahaja tertumpu kepada pemeliharaan hutan malah turut meliputi pengurusan dan pemuliharaan hasil hutan bukan kayu seperti buluh, rotan dan ‘hoputung’, yang mempunyai nilai budaya, ekonomi dan warisan kepada masyarakat setempat.
Beliau berkata pengurusan sumber hutan secara lestari amat penting bagi memastikan bekalan bahan mentah untuk menghasilkan kraftangan tradisional seperti Siung Papar terus terpelihara demi manfaat generasi masa kini dan akan datang.
Pengerusi Penganjur, Dorothy Doris Tiansun, berharap usaha memelihara seni anyaman Siung Papar sebagai identiti dan warisan budaya masyarakat Kadazan Papar dapat diteruskan secara berterusan.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Pusat Kraf Anyaman Siung Papar sebagai pusat latihan, dokumentasi, penghasilan dan pemasaran hasil anyaman.
Menurutnya, inisiatif itu mampu menarik minat generasi muda mempelajari seni anyaman Siung Papar, di samping memperkukuh pemeliharaan warisan budaya serta membuka peluang menjana pendapatan melalui industri kraf dan pelancongan budaya.
Penganjur berharap bengkel itu menjadi pemangkin kepada usaha berterusan memelihara, mendokumentasikan dan mempromosikan anyaman Siung Papar sebagai warisan budaya kebanggaan Papar dan Sabah, sekali gus memastikan seni warisan unik itu terus lestari untuk generasi akan datang.
Turut hadir ialah Pengerusi Pohumpung Nature Breeze Trail (PNBT), Eddie Mikil, Timbalan Pengerusi PaparCare4U, Dunstan Oswald Roland, Setiausaha, Eudora Deoney Edward, serta Bendahari, Mylvia Roland.



