HomeUtamaEnakmen baharu perkukuh pentadbiran akar umbi, Ketua Kampung dan JKKK diminta terus...

Enakmen baharu perkukuh pentadbiran akar umbi, Ketua Kampung dan JKKK diminta terus dekat dengan rakyat

Read Time:1 Minute, 27 Second

RANAU : Kelulusan Enakmen Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026 mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh sistem pentadbiran di peringkat akar umbi.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, enakmen itu bukan sahaja memperkemaskan tadbir urus institusi kepimpinan masyarakat, malah meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata, Ketua Kampung dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara kerajaan dengan masyarakat, justeru mereka perlu sentiasa mendampingi rakyat serta memahami keperluan komuniti masing-masing.

“Pemimpin masyarakat perlu sentiasa turun padang, mendengar suara rakyat dan memahami keperluan penduduk supaya setiap isu dapat ditangani dengan segera dan berkesan.

“Kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan segala usaha pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Johari Suhaimin, ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah JKKK Kawasan N.37 Karanaan di Dewan Kampung Mininsalu, di sini.

Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, watikah pelantikan yang diterima oleh Ketua Kampung dan Ahli JKKK bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya membawa amanah besar untuk memimpin masyarakat dengan penuh tanggungjawab, integriti dan keikhlasan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan pelaksanaan dasar serta program kerajaan bergantung kepada komitmen pemimpin di peringkat akar umbi dalam memastikan setiap bantuan dan inisiatif kerajaan sampai kepada golongan yang memerlukan.

Pada majlis itu, seramai 46 Pengerusi JKKK dan dua Ketua Kampung bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan menerima watikah pelantikan.

Dua Ketua Kampung yang menerima watikah ialah Mohd Linggas Rasmin dari Kampung Purakogis dan Radzie Aziri Sanin dari Kampung Piasau.

Turut hadir Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Karanaan, Suhaimi Manjun; Ketua Daerah Ranau, Muhasip Roman serta pemimpin masyarakat setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

PeWaniS terus perkasa wanita, sumbang pembangunan pendidikan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular