PAPAR: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Kedua yang akan menghubungkan Kampung Buang Sayang dengan Pekan Papar, selain kerja kecemasan penambakan batu dan tanah di sepanjang tebing Sungai Intake Kogopon serta kerja perlindungan tebing sungai bagi meningkatkan kemudahan dan keselamatan penduduk di daerah itu.
Beliau berkata, kedua-dua projek yang dipohon Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut di WSG Kinarut Show Gallery, di sini, hari ini.
Pada majlis sama, beliau berkata projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut bernilai RM70.6 juta yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas serta meningkatkan keselamatan pengguna di Koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar yang semakin pesat membangun.
Menurutnya, koridor berkenaan kini berkembang pesat dengan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, sekolah dan produk pelancongan sehingga menyebabkan peningkatan jumlah trafik, terutama pada waktu puncak.
“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang dan melaksanakan pembangunan yang memberi manfaat serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji berkata, projek sepanjang 1.5 kilometer itu melibatkan penaiktarafan jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala, sekali gus membuktikan keperluan mobiliti rakyat Sabah terus diberi perhatian oleh kerajaan.
Beliau berkata, skop projek itu bukan sekadar melibatkan pelebaran jalan, malah memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pengguna menerusi pembinaan jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas dan perlindungan motosikal.
“Semua kemudahan ini akan memberi manfaat kepada murid sekolah, pejalan kaki dan pengguna jalan raya, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji memberi jaminan Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama penuh dalam urusan pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Beliau berkata, semua jabatan dan agensi utiliti yang terbabit perlu bertindak pantas menyelesaikan sebarang isu teknikal agar pelaksanaan projek tidak terganggu.
“Kita tidak mahu kerenah birokrasi menjadi penghalang kepada pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan negeri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kejayaannya,” katanya.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur jalan raya yang cekap dan selamat merupakan pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi, selain mampu merangsang pelaburan serta sektor pelancongan.
Beliau yakin projek itu akan mengurangkan masa perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan dan merancakkan aktiviti ekonomi di Papar selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, Papar kini sedang melalui fasa pembangunan pesat hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan komersial, malah berpotensi menjadi pintu masuk utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak.



