HomeUtamaPenemuan mayat bayi, polis giat kesan individu bertanggungjawab

Penemuan mayat bayi, polis giat kesan individu bertanggungjawab

Read Time:1 Minute, 13 Second

PENAMPANG: Polis sedang giat mengesan individu yang bertanggungjawab susulan penemuan mayat seorang bayi dipercayai tidak cukup sifat di Kampung Goliga Kolopis, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 11.52 pagi sebelum sepasukan pegawai polis bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati mayat bayi berkenaan ditemui di kawasan berhampiran rumah pengadu.

“Pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah serta Unit K-9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut digerakkan ke lokasi bagi membantu siasatan dan pemeriksaan tempat kejadian.

“Mayat bayi itu kemudian dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat dan tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan membuang mayat secara sulit, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Katanya, polis kini menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian dan membawa individu yang terlibat ke muka pengadilan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-6365734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Sammy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki didakwa tipu RM40,000 tawar projek bina masjid

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular