Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Seramai 943 atlet dan pegawai akan mewakili Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor yang dijadual akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos depan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan sukan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Sabah akan mengambil bahagian dalam 36 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya kali ini.
Beliau berkata, seramai 744 atlet akan membawa cabaran Sabah, terdiri daripada 385 atlet lelaki dan 359 atlet wanita.
“Kontinjen Sabah turut diiringi oleh 51 pengurus pasukan serta 149 jurulatih, menjadikan keseluruhan kontinjen Sabah ke SUKMA Selangor 2026 seramai 944 orang melibatkan atlet dan pegawai.

“Persiapan rapi telah dilakukan oleh semua pihak termasuk Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, persatuan sukan, jurulatih, pengurus pasukan dan pasukan perubatan bagi memastikan atlet berada pada tahap terbaik menjelang temasya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan penyertaan rasmi Kontinjen Sabah ke SUKMA Ke-22 dan PARA SUKMA Selangor 2026 di Bilik Mesyuarat Utama Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), di sini, pada Selasa.
Nizam berkata, Sabah akan menyertai kesemua 30 sukan wajib termasuk olahraga, akuatik, badminton, bola sepak, hoki, memanah, menembak, pencak silat, taekwondo, tenpin boling dan wushu.
Selain itu, Sabah turut mengambil bahagian dalam enam daripada tujuh sukan pilihan, iaitu catur, e-sukan, kriket, petanque, silambam dan muay thai.
Beliau berkata, kejayaan menghantar kontinjen yang besar itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak yang bertungkus-lumus membuat persiapan sejak awal.
Sementara itu, Nizam turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan termasuk menyediakan peruntukan bagi memastikan penyertaan Sabah di SUKMA dapat direalisasikan.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa komited membudayakan sukan sebagai medium melahirkan masyarakat yang sihat, berdaya saing, berdisiplin dan bersatu padu.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua atlet dan pegawai kontinjen Sabah supaya sentiasa menjaga disiplin serta nama baik negeri sepanjang temasya berlangsung.
“Berjuanglah dengan penuh kejujuran, semangat kesukanan dan keazaman tinggi. Saya yakin dengan usaha gigih semua atlet, Sabah mampu mencipta kejayaan yang membanggakan di Selangor nanti,” katanya. – SABAH MEDIA



