TENOM: Sebanyak 25 ekor lembu akan diagihkan kepada kumpulan B40 di kawasan Melalap, khususnya Kampung Lagud, sebagai usaha membantu meningkatkan sumber pendapatan penerima.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program itu turut disokong usaha memulihkan dan menaik taraf padang ragut bagi memastikan kemudahan serta persekitaran ternakan berada dalam keadaan baik.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah turut diminta memperluas usaha pemulihan padang ragut di Tenom serta kawasan lain di seluruh Sabah.
“Kita telah memulakannya awal tahun ini dan dua lokasi yang dipilih ialah padang ragut Kampung Lagud dan Kampung Pamilaan.
“Hari ini kita akan mengagihkan 25 ekor lembu di padang ragut Kampung Lagud, manakala pada September nanti sebanyak 45 ekor lagi akan diagihkan di padang ragut Kampung Pamilaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Kursus Transformasi Teknologi Perladangan Organik 2.0 di Dewan SJK (C) Chung Hwa, di sini, hari ini.
Menurutnya, kedua-dua padang ragut berkenaan telah dipulihkan, termasuk pemasangan pagar dan penanaman rumput bagi menyediakan kawasan yang lebih sesuai untuk aktiviti penternakan.
Katanya, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen kementeriannya untuk memperkasakan semula padang ragut di Sabah, selain membantu golongan memerlukan mendapatkan induk lembu berkualiti.
Jamawi turut menasihatkan penerima supaya tidak menjual induk lembu yang diberikan dalam tempoh terdekat, sebaliknya membiakkannya bagi meningkatkan jumlah ternakan dan sumber pendapatan pada masa akan datang.
“Jangan dijual. Ada rakan-rakan yang dahulu menerima induk lembu, dua atau tiga bulan kemudian dijual. Biarlah ia sempat membiak.
“Induk yang kita berikan ini berkualiti dan boleh menghasilkan kira-kira tujuh generasi yang mempunyai ciri hampir sama dengan induknya,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya pembiakan dilakukan secara berterusan, jumlah ternakan boleh berkembang kepada 10, 20 atau 30 ekor sebelum dijual bagi membantu penerima mengembangkan sumber pendapatan.
“Jangan jual apa yang kita berikan. Pelihara betul-betul dan mudah-mudahan ia dapat menjadi sumber pendapatan pada masa akan datang.
“Kita akan terus membantu. Kalau ada masalah pagar, beritahu. Kalau ada masalah rumput atau induk, beritahu. Kita akan bantu sebaik mungkin,” katanya.



