HomeUtama30 usahawan RISE, S-SEED disasar tembusi pasaran dunia

30 usahawan RISE, S-SEED disasar tembusi pasaran dunia

Read Time:2 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU: Seramai 30 usahawan yang terpilih menyertai Program RISE (Resilient, Innovative SEDCO Entrepreneurs) dan S-SEED (Strategic Entrepreneur Development Fund) disasar mampu membangunkan produk yang berpotensi menembusi pasaran dunia.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan dalam kedua-dua program berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan bagi meningkatkan keupayaan perniagaan masing-masing.

Beliau berkata, antara sasaran yang perlu diberi perhatian ialah pembangunan produk yang mempunyai nilai pasaran antarabangsa, selain memenuhi keperluan pensijilan dan pendaftaran berkaitan.

“Saya berharap 30 usahawan yang terpilih untuk menyertai Program RISE dan S-SEED ini dapat membangunkan produk untuk pasaran dunia, termasuk memiliki pensijilan halal serta pendaftaran dengan DIDR dan MATRADE,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program itu, di sini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, berkata, RISE merupakan program bimbingan perniagaan, manakala S-SEED pula merupakan program pembiayaan keusahawanan yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sabah (SEDCO).

Menurutnya, kedua-dua inisiatif itu penting dalam membantu usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan, termasuk dari aspek pembangunan produk, pengurusan serta akses kepada pembiayaan.

Katanya, usaha memperkukuh kapasiti usahawan tempatan amat penting bagi memastikan perusahaan Sabah bukan sahaja mampu bertahan dalam pasaran domestik, malah berupaya berkembang ke peringkat lebih luas.

Dalam pada itu, Ewon berkata, Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) turut memberi perhatian kepada pembangunan ekosistem keusahawanan dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan.

Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang diberi perhatian ialah penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera Sabah serta pembangunan polisi sokongan khas kepada SME tempatan Sabah yang mahu mengembangkan perusahaan mereka di taman-taman perindustrian, bermula di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).

“MINDET juga akan meneliti dan memperkenalkan program-program latihan keusahawanan yang lebih sesuai dengan keperluan serta cabaran yang dihadapi usahawan masa kini,” katanya.

Ewon berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan program pembangunan usahawan yang dilaksanakan kerajaan negeri sentiasa relevan dengan perubahan pasaran dan cabaran perniagaan semasa.

Beliau turut berkata, sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) merupakan antara penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Berdasarkan data pencapaian PMKS negara bagi 2025, katanya, sektor berkenaan menyumbang 39.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, bersamaan RM689.8 bilion.

Katanya, sektor PMKS turut menggaji sekitar lapan juta pekerja atau 48.7 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di Malaysia.

“Usahawan Sabah turut menyumbang kepada prestasi cemerlang sektor PMKS negara,” katanya.

Hadir sama Pengerusi SEDCO, Datuk Masiung Banah; Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng; timbalan-timbalan setiausaha tetap MINDET serta ketua-ketua jabatan dan usahawan.

RELATED ARTICLES
Utama

Bekas pegawai adat antara empat direman berhubung rasuah jual beli tanah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular