HomeUtamaSabah perkukuh Ekonomi Biru menerusi kerjasama penyelidikan marin Malaysia-China

Sabah perkukuh Ekonomi Biru menerusi kerjasama penyelidikan marin Malaysia-China

Read Time:2 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh penyelidikan marin, kerjasama saintifik serta pembangunan Ekonomi Biru menerusi penglibatan dalam program Hari Terbuka Kapal Penyelidikan Tan Kah Kee (Research Vessel Tan Kah Kee-RVTKK).

Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor marin berikutan negeri ini dikurniakan sumber laut yang kaya dengan lebih 1,400 kilometer garis pantai.

Beliau berkata, lawatan kapal penyelidikan berkenaan turut mencerminkan hubungan kerjasama yang semakin kukuh antara Malaysia dan China khususnya dalam bidang pendidikan, sains, teknologi serta penyelidikan marin.

“Melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri komited untuk meletakkan Sabah sebagai hab Ekonomi Biru Malaysia menerusi pembangunan lautan yang mampan, inovasi dan penyelidikan saintifik.

“Hubungan ini membolehkan kita bertukar pengetahuan, menjalankan penyelidikan bersama serta mewujudkan peluang bermakna kepada para penyelidik, pendidik dan pelajar,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Jordan Jude Ellron pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Kapal Penyelidikan Tan Kah Kee di Pelabuhan Kota Kinabalu, di sini.

Menurut James, kapal penyelidikan berkenaan dilengkapi kemudahan penyelidikan moden yang mampu menyokong pelbagai kajian termasuk biodiversiti marin, perikanan, perubahan iklim, oseanografi dan pemetaan dasar laut.

Katanya, hasil penyelidikan tersebut berpotensi menyumbang kepada pengurusan sumber marin Sabah yang lebih berkesan selain menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti.

“Di samping itu, saya mengalu-alukan penyertaan pegawai Jabatan Perikanan Sabah bersama pensyarah dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam ekspedisi saintifik kapal ini.

“Ini merupakan peluang penting untuk memperkukuh kepakaran tempatan serta menggalakkan kerjasama penyelidikan antarabangsa pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan pegawai, pensyarah dan pelajar dalam ekspedisi itu bukan sekadar memberi pendedahan serta latihan, malah merupakan pelaburan strategik dalam pembangunan bakat saintifik Sabah.

“Kerjasama ini juga dapat memperkukuh kapasiti institusi serta mendedahkan para pelajar kepada piawaian antarabangsa dalam penyelidikan saintifik marin,” katanya.

Dalam pada itu, James berkata kerjasama berkenaan turut mempunyai potensi untuk memberi manfaat kepada sektor pelancongan Sabah.

Katanya, pengalaman yang diperoleh delegasi dan peserta dari China sepanjang berada di Sabah boleh menjadi medium untuk mereka memperkenalkan keunikan negeri ini kepada masyarakat di negara berkenaan.

“Jika mereka kembali ke China, mereka akan menyampaikan kelebihan dan keunikan budaya di negeri ini kepada warga di sana yang akhirnya Sabah akan mendapat manfaat secara tidak langsung melalui peningkatan sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berharap program berkenaan dapat meningkatkan minat generasi muda, khususnya anak Sabah, untuk menceburi bidang sains, teknologi dan penyelidikan.

“Pendedahan seperti ini amat penting supaya generasi muda dapat melihat sendiri kemajuan teknologi penyelidikan marin dan memahami peluang kerjaya yang tersedia dalam bidang berkenaan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Syabu lebih 31 gram dirampas, dua warga asing ditahan di Tawau

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular