KOTA KINABALU: Syukbah Wanita Masjid Nurul Hikmah (MNH) terus memperkasa penghayatan terhadap Al-Quran dan kecintaan kepada Rasulullah SAW menerusi penganjuran Khatam Perdana Maulidur Rasul dan Santuni Guru di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Program bersempena Bulan Kemerdekaan itu disertai kira-kira 150 peserta dan diisi dengan pelbagai pengisian kerohanian dan pendidikan.
Antara pengisian utama ialah Khatam Al-Quran, bacaan doa khatam serta ceramah yang disampaikan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Dr. Ustaz Bongsu @ Aziz Jaafar.

Program turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah dan selawat Nabi oleh pelajar Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah, MNH, selain persembahan oleh Syukbah Wanita MNH selain bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.
Penganjuran program itu bukan sahaja memberi ruang kepada peserta menghayati keistimewaan bulan Maulidur Rasul, malah menjadi platform untuk menyemarakkan budaya membaca dan memahami Al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Syukbah Wanita MNH yang diketuai Hazimah Mohd Tahir mempunyai 15 ahli jawatankuasa dan aktif melaksanakan pelbagai program berkaitan keagamaan, pendidikan Al-Quran dan kebajikan.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk kelas membaca Al-Quran, kelas Fekah secara dalam talian, kelas Iqra’ dan asas Al-Quran, kelas asas tajwid serta Kuliah Dhuha.

Usaha berkenaan mencerminkan komitmen kumpulan itu untuk menyediakan ruang pembelajaran agama secara berterusan kepada masyarakat, termasuk melalui pendekatan secara bersemuka dan dalam talian.
Dalam masa sama, Syukbah Wanita MNH turut melaksanakan pelbagai program kebajikan menerusi Tabung Kasih, yang memberi bantuan kepada 15 peserta kurang berkemampuan selama enam bulan.
Inisiatif kebajikan lain termasuk Tabung Subuh, Tabung Qurban dan program Sehari 3 Muka, selain penganjuran tadarus Al-Quran secara bersemuka serta dalam talian.
Program Santuni Guru yang diadakan bersama Khatam Perdana itu pula menjadi sebahagian daripada usaha menghargai jasa golongan pendidik yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan ilmu dan masyarakat.
Menerusi program berkenaan, Syukbah Wanita MNH turut menziarahi guru-guru khususnya mereka yang uzur dan lanjut usia sebagai tanda penghargaan terhadap khidmat serta pengorbanan mereka.



