HomeUtamaLaporan RCI perlu jadi panduan perbaiki pengurusan Tabung Haji – Matbali

Laporan RCI perlu jadi panduan perbaiki pengurusan Tabung Haji – Matbali

Read Time:1 Minute, 50 Second

KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dijadikan panduan penting dalam usaha memperbaiki pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, segala penemuan serta rekomendasi yang terkandung dalam laporan berkenaan wajar diberikan perhatian serius bagi memastikan kelemahan yang berlaku sebelum ini tidak berulang.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memastikan semua syor RCI dilaksanakan melalui proses yang profesional, telus serta bebas daripada sebarang bentuk campur tangan.

“Sipitang berpandangan bahawa kerajaan wajar meneruskan segala tindakan susulan berdasarkan penemuan RCI secara profesional, telus dan bebas daripada sebarang bentuk campur tangan.

“Biarlah setiap tindakan dipandu oleh undang-undang, bukan oleh tekanan mana-mana pihak,” katanya ketika membahaskan laporan RCI itu pada persidangan khas Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Matbali, laporan RCI yang merangkumi tempoh antara 2014 hingga 2020 mengandungi pelbagai dapatan yang sewajarnya dinilai secara menyeluruh demi memastikan pengurusan TH dapat diperkukuh pada masa hadapan.

Katanya, setiap syor dan penemuan laporan itu perlu dinilai berdasarkan proses perundangan sedia ada supaya keadilan dapat ditegakkan tanpa mengabaikan hak mana-mana pihak.

“Kita juga mendukung pendirian kerajaan dan Perdana Menteri supaya tindakan susulan dilaksanakan menurut lunas undang-undang serta prinsip tadbir urus yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Matbali berkata proses siasatan berkaitan penemuan RCI perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk berjalan tanpa sebarang gangguan.

Beliau berkata, agensi penguat kuasa perlu diberikan kebebasan untuk melaksanakan amanah mereka secara profesional dan berintegriti tanpa dipengaruhi persepsi atau tekanan pihak tertentu.

“Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa proses siasatan hendaklah diberikan ruang sepenuhnya untuk berjalan tanpa sebarang gangguan.

“Demi kebaikan dan penambahbaikan. Jangan kita mengheret agensi penguat kuasa ke dalam gelanggang persepsi. Biarlah mereka melaksanakan amanah dengan bebas, profesional dan berintegriti,” katanya.

Matbali turut menyambut baik tindakan kerajaan membawa laporan RCI berkenaan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat, sambil menyifatkannya sebagai langkah penting dalam memastikan penemuan laporan itu mendapat perhatian sewajarnya.

Beliau berharap proses susulan terhadap laporan berkenaan dapat dilaksanakan secara berhemah dan berpandukan prinsip tadbir urus yang baik demi memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap pengurusan Tabung Haji.

Usaha tersebut, katanya, penting bagi memastikan institusi berkenaan terus ditadbir secara berintegriti, telus dan berlandaskan undang-undang demi kepentingan pendeposit serta jemaah haji pada masa akan datang.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga lelaki ditahan disyaki terlibat kes curi motosikal di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular