HomeUtamaKayuhan Merdeka pupuk gaya hidup sihat, bebas dadah

Kayuhan Merdeka pupuk gaya hidup sihat, bebas dadah

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU: Seramai 30 peserta menyertai Kayuhan Merdeka Belia Bebas Dadah 2026 melibatkan jarak keseluruhan 138 kilometer dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme serta membawa mesej gaya hidup sihat, aktif dan bebas dadah.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama PEMADAM Cawangan Bandaraya Kota Kinabalu itu berlangsung selama dua hari pada 8 dan 9 Ogos lalu.

Kayuhan bermula seawal jam 5.30 pagi dari pekarangan Bangunan DBKK pada 8 Ogos dengan pelepasan peserta disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Operasi) DBKK merangkap Pengerusi PEMADAM Bandaraya Kota Kinabalu, Robert Lipon.

Peloton yang terdiri daripada ahli kelab berbasikal DBKK Cycling Team (Gagak Hitam) itu berkayuh sejauh 102 kilometer menuju ke Polumpung Melangkap View Camp Site, Kota Belud.

Peserta kemudian berkhemah di lokasi berkenaan sebelum meneruskan kayuhan pada hari berikutnya menuju ke Kampung Sangkir, Kota Belud, menjadikan jarak keseluruhan kayuhan 138 kilometer.

DBKK dalam kenyataan berkata, penganjuran program seumpama ini diharapkan dapat terus memperkasa budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, di samping menyemai kesedaran mengenai kepentingan menjauhi penyalahgunaan dadah.

Terdahulu, Majlis Penyerahan Bendera Kayuhan Merdeka Belia Bebas Dadah 2026 diadakan di Dewan Mesyuarat, Bangunan DBKK pada 7 Ogos sebagai simbolik pelancaran dan sokongan terhadap inisiatif berkenaan.

Bendera diserahkan oleh Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr Lifred Wong yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu kepada Robert, dengan disaksikan Setiausaha Eksekutif PEMADAM Negeri Sabah, Jossie Ansilmus.

Dalam ucapannya, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu berkata, program itu bukan sekadar aktiviti rekreasi, malah menjadi wadah untuk memupuk semangat patriotisme, menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan belia, mengenai bahaya penyalahgunaan dadah.

Foto ihsan DBKK
RELATED ARTICLES
Utama

Bakeri diambil tindakan, KPDN ingatkan peniaga jangan abai tempoh permit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular