HomeSukanSUKMA XXII : Lompatan Gerfan hadiahkan emas keempat olahraga Sabah

SUKMA XXII : Lompatan Gerfan hadiahkan emas keempat olahraga Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

SUBANG JAYA: Atlet muda Sabah, Gerfan Nigel Frank terus mencuri tumpuan apabila menghadiahkan pingat emas menerusi acara lompat bergalah lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Stadium UPM, pada Selasa.

Kejayaan atlet berusia 16 tahun dari Sipitang itu menyaksikan Sabah meraih pingat emas keempat dalam acara olahraga selepas tiga hari pertandingan berlangsung.

Gerfan yang membuat penampilan sulung di pentas SUKMA mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya melepasi ketinggian 4.55 meter untuk menamatkan saingan di kedudukan teratas sekali gus menghadiahkan satu lagi emas berharga buat kontinjen negeri.

Beliau yang turun beraksi bersama seorang lagi wakil Sabah, Muhammad Azwan Syarul Nizam Azman dari Lahad Datu, menunjukkan ketenangan dan keyakinan sepanjang pertandingan sebelum memastikan emas menjadi milik Sabah menerusi lompatan terbaiknya pada ketinggian 4.55 meter.

Pingat perak dimenangi Abu Bakar Abdul Wahid dari Kedah yang mencatat lompatan 4.40 meter, manakala gangsa menjadi milik Darrel Kit Ric Yee dari Pulau Pinang dengan catatan 4.30 meter.

Kejayaan Gerfan turut melengkapkan pencapaian cemerlang Sabah dalam acara lompat bergalah apabila menyapu bersih kedua-dua gelaran lelaki dan wanita selepas Samantha Mae Godfrey Binting muncul juara acara wanita pada Ahad lalu.

Lebih membanggakan, kejayaan itu hadir pada usia yang cukup muda, sekali gus membuktikan potensi besar Gerfan untuk terus berkembang sebagai antara prospek terbaik negara dalam acara lompat bergalah pada masa hadapan.

Pencapaian tersebut turut mencerminkan hasil usaha dan bimbingan jurulatih Mohammad Farzurullah Rosli yang memainkan peranan penting dalam membentuk serta mempersiapkan atlet muda itu menghadapi saingan SUKMA.

Sementara itu, Sabah turut menambah koleksi pingat menerusi acara lari berganti-ganti 4×400 meter campuran apabila meraih pingat perak dengan catatan masa 3 minit 32.72 saat.

Acara itu dimenangi Johor yang merekodkan masa 3 minit 31.45 saat, manakala Sarawak meraih gangsa selepas mencatat masa 3 minit 33.36 saat.

Setakat ini, acara olahraga telah menyumbang empat pingat emas dan tiga pingat perak kepada kontinjen Sabah, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai antara pencabar utama dalam temasya SUKMA Selangor 2026. – SABAH MEDIA / FOTO MSN SABAH

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Sumandak Sabah pertahan emas regu berpasukan wanita

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular