HomeSukanSUKMA XXII : Quik Chern Xin sumbang gangsa, Sabah terus cemerlang dalam...

SUKMA XXII : Quik Chern Xin sumbang gangsa, Sabah terus cemerlang dalam memanah

Read Time:1 Minute, 29 Second

SHAH ALAM : Pasukan memanah Sabah terus menunjukkan prestasi membanggakan pada SUKMA Selangor 2026 apabila Quik Chern Xin menghadiahkan pingat gangsa dalam acara Qualification Round Recurve Men hari ini.

Pemanah muda Sabah itu tampil konsisten sepanjang saingan apabila merekodkan 328 mata pada pusingan pertama sebelum meningkatkan kutipan kepada 330 mata pada pusingan kedua.

Dengan jumlah keseluruhan 658 mata, Quik Chern Xin berjaya menduduki tempat ketiga untuk membawa pulang pingat gangsa, sekali gus menambah koleksi pingat kontinjen Sabah dalam acara memanah.

Kejayaan berkenaan turut menyambung momentum yang dicetuskan kem memanah Sabah sehari sebelumnya apabila Catherine Looi Mei Qi binti Abdullah meraih pingat emas dalam acara Compound Wanita.

Ia menjadikan dua hari berturut-turut kem memanah Sabah menyumbang pingat menerusi kategori berbeza, sekali gus memperlihatkan kemampuan atlet negeri bersaing di pentas SUKMA.

Pengurus pasukan memanah Sabah, Kartini Kamis, berkata saingan dalam acara berkenaan cukup sengit memandangkan dua atlet yang mengungguli kedudukan pertama dan kedua adalah pemanah kebangsaan Malaysia.

“Saingan sangat sengit kerana dua atlet yang meraih emas dan perak adalah atlet kebangsaan Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau melihat perkembangan positif dalam kalangan barisan pemanah Sabah dan percaya gandingan atlet terbaik negeri itu mampu membuka peluang untuk menambah koleksi pingat.

“Harapan dengan gandingan atlet terbaik Sabah, kita berpeluang cerah untuk meraih lagi pingat,” katanya.

Selain Quik Chern Xin, Sabah turut menampilkan tiga lagi pemanah dalam saingan berkenaan.

Evan Rich Chong mencatatkan 332 mata pada pusingan pertama dan 322 mata pada pusingan kedua untuk mengumpul keseluruhan 654 mata, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Aedan Chaw pula berada di tempat ke-14 dengan jumlah 627 mata hasil catatan 313 dan 314 mata.

Manakala Thomi Raphael Calvin mengakhiri saingan di kedudukan ke-30 dengan kutipan keseluruhan 607 mata, selepas merekodkan 316 mata pada pusingan pertama dan 291 mata pada pusingan kedua. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII: Sabah rangkul emas boling padang men triples 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular