PUCHONG: Pasukan sepak takraw regu berpasukan wanita Sabah berjaya mempertahankan pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas menewaskan Perak 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Arena MBSJ Puchong di sini petang tadi.
Kejayaan itu mengesahkan dominasi Sabah dalam acara berkenaan apabila sekali lagi muncul juara selepas mempamerkan aksi cemerlang dan penuh disiplin sepanjang perlawanan.
Dalam regu pertama, gandingan Fisydiana Faradona, Nedveesharny Samaan dan Suzila Parsi mempamerkan persembahan mantap untuk menewaskan lawan dengan keputusan 15-13 dan 15-6 sekali gus memberikan mata pertama buat Sabah.
Kemenangan itu meletakkan Sabah di landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran sebelum regu kedua turun menyempurnakan misi pasukan.
Regu kedua yang dibarisi Ernawati Budin, Jumisa Ambong dan Nur Anis Alia tampil lebih dominan apabila tidak memberi banyak ruang kepada lawan untuk bangkit.
Mereka berjaya mengatasi cabaran Perak menerusi kemenangan selesa 15-7 dan 15-7 bagi memastikan Sabah meraih kemenangan keseluruhan 2-0.
Kejayaan mempertahankan pingat emas itu menjadi bukti kekuatan berterusan skuad sepak takraw wanita Sabah yang terus menjadi antara kuasa utama negara dalam acara berkenaan.
Pencapaian tersebut turut menyumbang tambahan pingat emas kepada kontinjen Sabah yang sedang giat memburu kedudukan terbaik dalam carta pungutan pingat SUKMA Selangor 2026. – SABAH MEDIA



