HomeUtama21 ‘scammer’ didenda berhubung pelaburan palsu

21 ‘scammer’ didenda berhubung pelaburan palsu

Read Time:2 Minute, 30 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seramai 20 lelaki warga China dan seorang wanita warga Taiwan dikenakan denda antara RM3,500 dan RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan pakat jahat jenayah (konspirasi) berkaitan skim pelaburan palsu.

Tertuduh warga China ialah Li Yongbin, 35; Wei Mingya, 29; Fan Zisheng, 24; Zu Shanjie, 29; Cui Xiaofeng, 28; Zhang Enqi, 33; Zou Xianglai, 23; Wen Zhonghua, 31; Dai Wenhoa, 31; Xu Youjie, 29; Wang Zhihong, 21; Che Shinxing, 23; Xie Shuang, 27; Lu Zuowei, 37; Zhang Hao, 27; Ma Pan, 32; Wang Hao, 26; Zhang Yiliang, 25; Yang Haoxin, 18; dan Ma Jianchao, 26, manakala wanita warga Taiwan itu ialah Li Xuanqi, 25.

Tujuh tertuduh yang dihadapkan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus masing-masing didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Enam lagi tertuduh di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali turut didenda RM4,000 atau tiga bulan penjara, manakala lapan tertuduh di hadapan Majistret Marilyn Kelvin masing-masing didenda RM3,500 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan mereka telah melakukan pakat jahat jenayah untuk melakukan satu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu dengan curangnya mendorong mangsa untuk mempercayai wujudnya satu skim pelaburan yang tidak wujud yang bertentangan dengan seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Mereka secara bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 21 Mei lalu kira-kira jam 10 malam di sebuah bilik hotel di Bandaran Berjaya, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan bagi kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, serbuan dibuat berdasarkan maklumat berkaitan kegiatan calling center sindiket penipuan dalam talian di hotel berkenaan.

Serbuan yang turut disertai pakar media sosial itu membawa kepada penahanan 22 individu, terdiri daripada 20 warga China, seorang warga Taiwan dan seorang warga Malaysia.

Polis turut merampas telefon bimbit, komputer dan beberapa barangan lain.

Hasil soal siasat awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai memasuki Sabah dan menjalankan kegiatan penipuan dalam talian sejak dua bulan lalu, dengan sasaran utama warga China yang berada di Taiwan.

Lokasi yang diserbu merupakan tempat kerja sindiket berkenaan.

Ketika memohon hukuman berat, pihak pendakwaan berhujah sindiket itu beroperasi secara terancang, berdasarkan rampasan sejumlah telefon bimbit dan komputer serta penemuan skrip yang telah disediakan.

Pendakwaan turut menegaskan tertuduh menjadikan Malaysia, khususnya Kota Kinabalu, sebagai pangkalan kegiatan jenayah rentas sempadan, yang boleh mengancam keselamatan negara serta menjejaskan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pendakwaan berkata, hukuman penjara wajar dikenakan sebagai pencegahan, terutama mengambil kira kes penipuan dalam talian yang berleluasa, selain memberi amaran kepada pihak lain supaya tidak menjalankan kegiatan sama di negara ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aakash Singh, Arfa Anchal Khan dan Ronnie Anak Anthony, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Arthur Borine dan Luke Ressa Balang.

Semua tertuduh telah membayar denda masing-masing.

LINK BERITA TERDAHULU:

RELATED ARTICLES
Utama

Cuaca kering jejas lapan kawasan di Sabah – Bomba

Anwar Ibrahim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular