KUALA LUMPUR, 20 Ogos — Ryt Bank mencapai lebih 1.5 juta pelanggan dalam tempoh 12 bulan sejak dilancarkan, mencerminkan penerimaan kukuh rakyat Malaysia terhadap perkhidmatan perbankan digital berteraskan kecerdasan buatan (AI).
Bank digital yang disokong YTL Power International Bhd dengan kerjasama Sea Ltd itu berkata pencapaian tersebut didorong pendekatannya dalam menyediakan pengalaman perbankan yang mudah, intuitif dan sesuai dengan keperluan harian pengguna tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Interim Ryt Bank, Wilson Soon berkata sokongan pelanggan sepanjang tahun pertama telah membolehkan bank itu memperluas keupayaan teknologi dan rangkaian perkhidmatannya.
“Belum pernah ada bank seperti ini dibangunkan di Malaysia, dan pasukan yang menjadikannya satu realiti terdiri sepenuhnya daripada rakyat Malaysia.
“Kami telah membuktikan apa yang boleh dicapai apabila kita mencabar semula tanggapan mengenai kemampuan sebuah bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ryt Bank, aplikasinya menjadi aplikasi paling banyak dimuat turun di Malaysia menerusi Apple App Store dan Google Play pada Februari lepas, selain menduduki tempat pertama dalam kategori kewangan.
Dalam tempoh setahun, pelanggan turut menggunakan pembantu perbankan Ryt AI lebih 10 juta kali untuk menguruskan pelbagai urusan harian.

Ryt AI dikuasakan oleh ILMU, model bahasa besar berdaulat yang dibangunkan oleh YTL AI Labs di Malaysia. Perkhidmatan itu boleh digunakan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.
Antara keupayaannya ialah membaca resit, imej dan dokumen lampiran, mengendalikan beberapa permintaan dalam satu perbualan serta mencadangkan penyelesaian apabila pelanggan menghadapi masalah pembayaran.
Sempena ulang tahun pertamanya, Ryt Bank turut memperkenalkan Ryt Groups bagi memudahkan pengguna membahagikan, mengutip dan menyelesaikan perbelanjaan bersama.
Melalui ciri berkenaan, pengguna hanya perlu mengimbas resit dan Ryt AI akan menyenaraikan setiap pembelian, mengambil kira cukai jualan dan perkhidmatan serta caj perkhidmatan, sebelum mengira jumlah yang perlu dibayar oleh setiap individu.
Pembayaran kemudian boleh diselesaikan terus menerusi aplikasi Ryt Bank.

Pelanggan yang menggunakan Ryt Groups dalam tempoh pelancaran berpeluang menerima baucar foodpanda bernilai sehingga RM15.
Bank itu juga menawarkan ganjaran rujukan RM100 atau ganjaran RM5 yang dijamin kepada pelanggan dan rakan mereka bagi setiap rujukan yang berjaya, tertakluk kepada terma dan syarat kempen.
Wilson berkata pencapaian tahun pertama menunjukkan terdapat permintaan kukuh terhadap pengalaman perbankan yang lebih mudah dan berbeza dalam kalangan pengguna Malaysia.
“Kami berbangga dengan apa yang telah dibina, tetapi lebih teruja dengan apa yang bakal hadir selepas ini. Perjalanan kami baru sahaja bermula,” katanya.
Ryt Bank merancang memperkenalkan produk, pengalaman dan ganjaran baharu setiap minggu sepanjang Ogos, termasuk Kad Ryt edisi terhad serta satu ciri baharu yang dibangunkan berdasarkan permintaan pelanggan.



