HomeSukanSUKMA XXII : Silat Sabah akhiri saingan dengan dua emas

SUKMA XXII : Silat Sabah akhiri saingan dengan dua emas

Read Time:2 Minute, 40 Second

SUBANG JAYA: Skuad pencak silat Sabah menutup cabaran pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan kutipan dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa, sekali gus gagal mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan.

Emas terakhir Sabah disumbangkan Lelone Romzie dalam acara tanding Putera Kelas C (55-60 kilogram) selepas menewaskan pesilat Wilayah Persekutuan, Awangku Muhammad Hazhan, 23-12 pada aksi final di Dewan Seri Sarjana, UNITEN, Kajang, Rabu.

Kejayaan itu melengkapkan kutipan dua emas Sabah dalam sukan berkenaan, selepas satu lagi emas disumbangkan gandingan Manjaseerah Manuil, Sherlenna Abdullah dan Fiffy Ferlisa Rien dalam acara seni regu wanita.

Dua pingat perak pula diraih Roslyana Rustam dalam acara seni tunggal puteri dan Roslan Habil bagi acara solo kreatif putera.

Sementara itu, tiga gangsa disumbangkan trio Mohammad Syafwan, Muhammad Darmadiansyah dan Mohammad Nazir dalam acara seni regu putera, Mohammad Faris Hakimi dalam tanding Putera Kelas J (90-95kg) serta Raziq Rifqi dalam tanding putera bawah 45kg.

Pencapaian berkenaan bagaimanapun menyaksikan Sabah gagal mengulangi kejayaan pada SUKMA Sarawak 2024 apabila skuad silat negeri itu membawa pulang empat pingat emas.

Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Negeri Sabah (PSS Pesaka Sabah), Datuk Alijus Sipil, mengakui pihaknya sedikit kecewa kerana sasaran yang ditetapkan tidak dapat dicapai.

“Agak kecewa juga kerana gagal capai sasaran tetapi di sebaliknya ada yang lebih penting untuk dilihat iaitu pelajaran dan pengalaman,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berkata, dua pingat emas yang diraih tetap membanggakan kerana kedua-dua penyumbang emas berkenaan bukan sandaran utama Sabah sebelum temasya berlangsung.

Menurutnya, kegagalan mencapai sasaran bukan semata-mata disebabkan pesilat yang diharapkan tidak berjaya, sebaliknya peningkatan kualiti pesilat dari negeri lain turut memberi cabaran lebih sengit.

“Kita gagal capai sasaran bukan hanya kerana yang jadi sandaran utama tidak berjaya tetapi kita juga melihat bahawa pesilat negeri lain juga menunjukkan peningkatan kualiti ketara.

“Sebab itu, kami akan buat post-mortem seterusnya merancang apa yang patut dilakukan. Kami juga akan terus menggandakan usaha latihan terutama majoriti pesilat kita kali ini masih boleh beraksi pada SUKMA akan datang,” katanya.

Mengulas perancangan selepas SUKMA, Alijus berkata antara pendekatan baharu yang sedang dipertimbangkan ialah mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara bagi meningkatkan tahap persediaan dan prestasi pesilat Sabah.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah untuk dipertimbangkan, khususnya dalam usaha memperkukuh program latihan skuad silat negeri.

“Selama ini kita hanya bergantung kepada jurulatih tempatan. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita memikirkan pendekatan baharu dengan menggunakan jurulatih luar negara.

“Saya fikir, jurulatih luar yang sesuai adalah dari Tarakan, Indonesia. Saya dimaklumkan bahawa jurulatih dari Tarakan banyak membantu pesilat Indonesia berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut Alijus, kedudukan Tarakan yang lebih hampir dengan Sabah juga memberi kelebihan dari segi logistik sekiranya program latihan bersama dan pendedahan pertandingan dilaksanakan.

“Tarakan juga dekat dengan kita. Ini juga akan memudahkan kita menghantar atlet ke sana untuk latihan dan pendedahan pertandingan,” katanya.

Alijus berkata, pengalaman di SUKMA Selangor perlu dijadikan bahan penilaian penting bagi memperbaiki kelemahan dan merangka persiapan lebih tersusun menjelang edisi SUKMA akan datang.

Beliau optimis majoriti pesilat Sabah yang beraksi di Selangor masih mempunyai peluang untuk kembali membawa cabaran negeri itu pada temasya akan datang, sekali gus memberi ruang kepada PSS Pesaka Sabah membina pasukan lebih kompetitif.- SABAH MEDIA / FOTO MSN SABAH

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Memanah, olahraga sandaran pingat Sabah hari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular