HomeSukanSUKMA XXII : Sumandak Sabah raih Perak, Selangor pertahan kejuaraan bola sepak...

SUKMA XXII : Sumandak Sabah raih Perak, Selangor pertahan kejuaraan bola sepak wanita

Read Time:2 Minute, 11 Second

SELAYANG : Impian Sabah untuk menamatkan saingan bola sepak wanita Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pingat emas tidak kesampaian apabila tewas 0-2 kepada tuan rumah Selangor pada aksi final, malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan Sabah terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, manakala Selangor dinobatkan sebagai juara selepas mempamerkan aksi lebih kemas dan berkesan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Perlawanan berlangsung sengit sejak awal dengan kedua-dua pasukan saling melakukan serangan, namun Selangor dilihat lebih menguasai permainan menerusi gerakan ofensif yang lebih tersusun.

Sabah yang menampilkan beberapa pemain kebangsaan cuba memberikan saingan, tetapi benteng Selangor berjaya mengekang percubaan skuad negeri itu.

Selangor akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-42 menerusi Tegen Su Yin Butler.

Gol itu berpunca daripada kesilapan pertahanan Sabah yang gagal mengawal bola sebelum S. Tishavani merampasnya dan melorongkan kepada Su Yin Butler.

Penyerang Selangor itu kemudian melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Sabah dan memberikan kelebihan 1-0 kepada tuan rumah sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Sabah meningkatkan tekanan bagi mencari gol penyamaan dan cuba mengasak kubu Selangor.

Bagaimanapun, Selangor kekal tenang bertahan sebelum melancarkan serangan balas bagi menambah jaringan.

Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-67 apabila Su Yin Butler sekali lagi menjadi duri buat pertahanan Sabah apabila menyudahkan hantaran silang untuk menghasilkan gol kedua Selangor.

Ketinggalan 0-2, Sabah terus berusaha mencari ruang untuk merapatkan jurang, namun Selangor berjaya mengekalkan disiplin permainan dan mengawal kelebihan sehingga wisel penamat.

Keputusan itu menyaksikan Sabah menamatkan kempen bola sepak wanita SUKMA XXII dengan pingat perak, manakala Selangor muncul juara di hadapan kira-kira 5,000 penyokong tuan rumah.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Titingan, menyifatkan pencapaian pingat perak itu sebagai sesuatu yang membanggakan, selain menyifatkan pengalaman tersebut sebagai pengajaran untuk pasukan memperbaiki kelemahan.

Beliau turut menyeru pemain supaya meneruskan latihan dan mengekalkan disiplin sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam karier sukan.

“Kalau kamu mahu jadi pemain profesional, teruskan latihan dan disiplin. Mungkin dua tahun akan datang kita boleh memperbaiki kedudukan untuk dapat emas pula,” katanya ketika memberikan kata-kata semangat kepada pemain.

Nizam turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Sabah kerana berjaya mengekalkan pencapaian pingat perak, sambil menggesa pemain supaya belajar daripada kesilapan yang berlaku pada aksi final.

“Apa pun, tahniah kerana kita pergi podium dan kita mengekalkan kedudukan mendapat pingat perak. Cuma belajar daripada kesilapan kita.

“Insya-Allah dua tahun akan datang kita mesti dapat pingat emas,” katanya.

Kejayaan meraih perak itu tetap menjadi pencapaian penting buat Sabah, selain menjadi motivasi kepada skuad berkenaan untuk kembali lebih kuat dan memburu emas pada edisi SUKMA akan datang.- SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

SUKMA XXII : Sabah tambah empat pingat perak menerusi angkat berat,...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular