Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Bapa dan kakak tiri Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dijangka dipanggil sebagai saksi apabila prosiding inkues kematian remaja itu bersambung bulan depan.
Prosiding yang memasuki hari ke-86 hari ini sudah menyaksikan seramai 79 saksi dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Inkues dijadual bersambung pada 7 hingga 11 September dengan mahkamah turut dijangka memanggil semula Pakar Perunding Psikiatri Forensik Dr Chua Sze Hung dan Nurul Atiqah Mohd Noh dari Bahagian Pemeriksaan Dokumen, Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Prosiding inkues yang bermula 3 September 2025 sebelum ini telah mendengar keterangan daripada pelbagai saksi termasuk pelajar, guru, pegawai polis, pakar patologi forensik, pakar psikiatri dan pemeriksa dokumen forensik.
Pasukan pegawai pengendali inkues terdiri daripada bekas Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah yang kini Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairus Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Ibu Zara, Noraidah Lamat, diwakili peguam Shahlan Jufri, Datuk Rizwandean Bukhary M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Bapa Zara, Mahathir Mohd Hashim, pula diwakili peguam Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyone Conrad.
Peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili Pelajar A, manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Mohammed Fareez Mohammed Salleh dan Sylyester Kuan mewakili Pelajar B, C, D dan E.
Untuk rekod, lima remaja yang hanya dikenali sebagai Pelajar A, B, C, D dan E didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atau pertuduhan mencela Zara. Kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan kes itu kini masih berjalan.



