KOTA KINABALU : Sabah FC tampil lebih agresif dalam aksi kedua saingan Liga Super apabila berjaya menewaskan Penang FC 2-0 di Stadium Likas malam ini.
Walaupun berdepan keadaan padang yang basah akibat hujan, Sabah tidak mengendurkan asakan apabila beberapa percubaan awal dilancarkan bagi mencari gol pembukaan.
Peluang terbaik Sabah hadir pada minit ke-20 apabila pemain import Gonzalo Di Renzo melakukan percubaan ke arah gawang Penang FC, namun penjaga gol Mohamad Ramdhan Ab Hamid, bertindak pantas menepis bola keluar.

Sabah terus mengancam gawang Penang dan dua minit kemudian, pemain import Enrique Lopez Fernandez mencuba menerusi situasi sepakan sudut, tetapi percubaan itu gagal menemui sasaran.
Pada minit ke-25, Farhan Roslan pula menguji penjaga gol Penang dengan percubaan dari luar kotak penalti, namun bola melepasi palang.
Kesabaran Sabah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-40 apabila Di Renzo memecah kebuntuan.
Di Renzo menerima hantaran Miguel Cifuentes sebelum menyudahkan peluang tersebut untuk meletakkan Sabah di hadapan 1-0.
Jaringan itu menyuntik semangat kepada Sabah untuk meneruskan tekanan terhadap Penang menjelang tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Sabah terus tampil menyerang dan tidak mengambil pendekatan bertahan untuk mengekalkan kelebihan satu gol.
Hasilnya, Sabah berjaya menggandakan kelebihan pada minit ke-53 menerusi Hanafie Tokyo.

Hanafie Tokyo menyempurnakan hantaran Mohammad Fayadh untuk menjadikan kedudukan 2-0 memihak Sabah.
Tersentak dengan jaringan kedua Sabah, pasukan pelawat terus mengasak ke gawang tuan rumah bagi mencari jaringan pertama pasukan Penang FC namun berjaya dipatahkan pertahanan Sabah.
Jaringan 2-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan membolehkan Sabah membawa pulang tiga mata berharga di laman sendiri. – SABAH MEDIA / FOTO ALEXTER ROSALIA



