KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini menolak saman fitnah ahli perniagaan Albert Tei terhadap Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) selepas mendapati beliau gagal membuktikan maksud fitnah yang dinyatakan dalam tuntutannya.
Hakim Monica Linsua dalam keputusan pada 21 Ogos lalu turut memerintahkan Albert membayar kos RM25,000 kepada SMM.
Menurut kenyataan SMM, mahkamah mendapati Albert berjaya membuktikan unsur penerbitan dan bahawa kenyataan berkenaan merujuk kepadanya, namun gagal membuktikan satu unsur penting dalam tuntutan fitnahnya.
“Mahkamah mendapati kenyataan yang dipertikaikan itu, apabila dibaca secara keseluruhan dan dalam konteks yang sewajarnya, tidak membawa maksud fitnah seperti yang dinyatakan oleh Albert dalam tuntutannya.
“Oleh kerana unsur penting tuntutan itu gagal dibuktikan, mahkamah memutuskan tidak perlu mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan SMM,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, SMM berkata pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan akan terus melindungi reputasinya.



