BEAUFORT: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam parit kebun sawit di Kampung Rancangan Klias, di sini, petang Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang pada 28 Ogos, mangsa dikatakan pergi ke kawasan parit berkenaan bersama seorang rakannya untuk bermain.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada NG999 (RC KCH) memaklumkan seorang kanak-kanak disyaki lemas di kawasan berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lokasi kejadian terletak kira-kira satu kilometer dari rumah mangsa.
“Ketika berjalan di tebing parit, mangsa dipercayai tergelincir akibat tanah licin selepas hujan sebelum terjatuh ke dalam parit.
“Mangsa yang tidak pandai berenang kemudian menjerit meminta pertolongan, namun rakannya yang panik dan ketakutan tidak dapat membantu sebelum berlari mendapatkan bapa mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Champin berkata, bapa mangsa kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan terjun ke dalam parit sebelum menemui kaki mangsa.
“Bapa mangsa menarik mangsa ke tebing dan memberikan bantuan pernafasan, namun tidak berjaya.
“Mangsa kemudian dibawa pulang ke rumah dan apabila ambulans Hospital Beaufort tiba, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati parit berkenaan baru dibersihkan dan didalamkan, dengan ketinggian kira-kira tiga meter serta kedalaman air sekitar dua meter.
“Paras air dipercayai meningkat berikutan hujan yang berlaku ketika kejadian,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.
“Pemeriksaan luaran terhadap tubuh mangsa oleh pegawai perubatan di Bahagian Forensik Hospital Beaufort mendapati tiada sebarang kesan perbuatan jenayah.
“Bedah siasat dijadualkan dijalankan pada jam 8 pagi, 29 Ogos di Jabatan Forensik Hospital Beaufort,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan bagi kes mati mengejut itu telah dibuka.
Sehubungan itu, Champin menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan mereka keluar tanpa ditemani orang dewasa, khususnya ketika berada berhampiran sungai, parit atau kawasan berair.



