HomeUtamaLebih 3 tan minyak masak dirampas di Semporna

Lebih 3 tan minyak masak dirampas di Semporna

Read Time:1 Minute, 32 Second

SEMPORNA: Lebih tiga tan minyak masak paket dirampas dalam satu operasi di sebuah jeti tidak berdaftar di Kampung Tanjung Kapor, di sini.

Rampasan itu dibuat kira-kira jam 7.20 pagi kelmarin sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk siasatan selanjutnya.

Menurut KPDN Sabah, sebanyak 3,060 kilogram (3.06 tan) minyak masak paket satu kilogram pelbagai jenama dirampas bersama enam tong gas petroleum cecair (LPG), sebuah bot kayu berwarna hijau dan tiga unit enjin pam 19HP.

Seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen diri turut ditahan dalam operasi itu sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan barang kawalan yang dirampas dianggarkan sebanyak RM7,809.60, manakala nilai barang bukan kawalan dianggarkan sebanyak RM2,000, menjadikan jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi kes ini sebanyak RM9,809.60.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai ‘rampasan tanpa tuan’ dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPDN Semporna menerima barang rampasan bagi tujuan pengurusan eksibit, manakala semua barang berkenaan kini disimpan sementara di Pangkalan dan Stor Eksibit PPM Semporna bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu, KPDN Semporna terus memperkukuhkan penguatkuasaan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) bagi membanteras aktiviti penyelewengan dan ketidakpatuhan terhadap perundangan berkaitan barang kawalan di daerah itu.

KPDN memberi amaran kepada individu dan syarikat supaya mematuhi perundangan berkaitan barang kawalan.

Menurut kementerian itu, individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.

Sebarang aduan dan pertanyaan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KPDN.

RELATED ARTICLES
Utama

Kanak-kanak 10 tahun maut selepas terjatuh dalam parit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular