HomeUtamaEmpat muka baharu antara 25 Ketua Bahagian (Penaja) Gagasan Rakyat Sabah

Empat muka baharu antara 25 Ketua Bahagian (Penaja) Gagasan Rakyat Sabah

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pelantikan 25 Ketua Bahagian (Penaja) baharu, termasuk empat muka baharu bagi menerajui bahagian Kota Marudu, Putatan, Kalabakan dan Semporna.

Hajiji berkata, pelantikan itu dibuat selepas Gagasan Rakyat menerima surat kebenaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) susulan pindaan perlembagaan parti pada Mei lalu.

“Jadi, kita telah pun mendapat surat kebenaran daripada ROS untuk melantik 25 orang penaja ataupun ketua-ketua penaja bahagian di seluruh Sabah.

“Inilah ketua-ketua bahagian penaja dan kita akan mengurus bahagian-bahagian ini untuk dihantar senarai anggotanya kepada ROS dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat, di sini, Sabtu.

Daripada 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik, empat merupakan muka baharu iaitu Saripin Magana bagi Kota Marudu, Shah Alfie Yahya Ahmad Shah (Putatan), Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (Kalabakan) dan Datuk Dr Mohd Jasmin Julpin (Semporna).

Menurut Hajiji, penstrukturan semula bahagian mengikut kawasan Parlimen itu bertujuan memperkukuh struktur organisasi serta memperkasa kepimpinan Gagasan Rakyat di peringkat bahagian.

Katanya, pelantikan itu turut menampilkan gabungan pemimpin berpengalaman, tokoh muda dan muka baharu daripada pelbagai latar belakang serta bidang kepakaran.

“Gabungan ini mencerminkan kesungguhan parti membentuk barisan kepimpinan yang lebih dinamik, inklusif dan dekat dengan rakyat.

“Pemilihan 25 Ketua Bahagian (Penaja) dibuat dengan mengambil kira faktor pengalaman, kemampuan memimpin, rekod khidmat kepada masyarakat, penerimaan di peringkat akar umbi serta keupayaan menggerakkan organisasi secara berkesan.

“Kehadiran pemimpin senior akan terus menjadi sumber pengalaman dan panduan strategik kepada parti, manakala penglibatan pemimpin muda serta muka baharu pula akan membawa idea, pendekatan dan tenaga baharu dalam memperkukuh gerak kerja organisasi,” katanya.

Hajiji berkata, pelantikan itu bukan sekadar pengisian jawatan, sebaliknya sebahagian daripada usaha membina kepimpinan merentas generasi yang mampu bergerak seiring dalam menghadapi cabaran politik dan tuntutan masyarakat semasa.

Katanya, gabungan pengalaman pemimpin senior dengan perspektif serta idea baharu daripada pemimpin muda dan muka baharu penting bagi memastikan organisasi terus kukuh, selain bersedia melakukan pembaharuan mengikut perkembangan semasa.

“Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik mempunyai tanggungjawab besar untuk memperkemas organisasi, memperkukuh jaringan akar umbi, memperluas keahlian serta menggerakkan aktiviti di setiap kawasan,” katanya.

Tambah beliau, kekuatan sesebuah organisasi bukan hanya bergantung kepada individu yang memimpin, sebaliknya turut bergantung kepada kerjasama seluruh pasukan dan keupayaan kepimpinan bahagian menterjemahkan agenda parti dalam bentuk khidmat yang dapat dirasai masyarakat.

“Kita mahu setiap bahagian menjadi organisasi yang hidup, aktif dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

“Ketua Bahagian bukan sekadar memegang jawatan, tetapi memikul amanah untuk membina organisasi, menyatukan ahli dan membawa suara masyarakat ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pelantikan itu diharap menjadi titik tolak kepada pembentukan saf kepimpinan baharu yang lebih kukuh, tersusun dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

“Dengan menggabungkan pengalaman pemimpin senior, semangat anak muda serta penyertaan muka baharu, Gagasan Rakyat yakin barisan 25 Ketua Bahagian (Penaja) berkenaan mampu memberikan nafas baharu kepada organisasi serta memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap perjuangan parti,” katanya.

Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua 25 Ketua Bahagian (Penaja) yang dilantik dan berharap mereka dapat melaksanakan amanah dengan penuh integriti, komitmen serta semangat berpasukan demi kepentingan parti dan rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

Lebih 3 tan minyak masak dirampas di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular