Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak melihat tindakan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menarik sokongan sebagai isu kerana parti itu bukan sebahagian daripada GRS, kata Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sebaliknya, katanya, perkara yang lebih penting ialah pendirian wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk ADUN Paginatan Rusdin Riman yang masih menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri.
“KDM ini bukan ahli GRS. Dia bukan dalam Gabungan Rakyat Sabah. Jadi tidak timbul dia tarik sokongan atau tidak, itu dia punya masalah.
“Yang penting di sini, dia mempunyai satu wakil rakyat. Wakil rakyat di Paginatan ini telah menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata GRS akan terus bekerjasama dengan parti-parti yang menganggotai kerajaan negeri ketika ini, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, kerjasama berkenaan turut menjadi asas kepada persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Pilihan raya sepatutnya diadakan kalau tempohnya sampai akhir tahun depan. Jadi, sebagai parti yang mengetuai kerajaan, kita mesti bersedia daripada sekarang menggerakkan parti semua peringkat termasuk sayap-sayap dengan turun ke bawah buat program untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum walaupun kita tidak tahu bila diadakan,” katanya.
Hajiji berkata GRS akan terus turun padang menemui rakyat bagi memperkukuh jentera parti di semua peringkat.
“Kita sentiasa bekerja turun ke bawah menemui rakyat untuk kita perkuatkan jentera parti GRS dan juga Gagasan Rakyat,” katanya.
Mengenai agihan kerusi Parlimen, beliau berkata GRS akan berunding dengan rakan-rakan dalam kerajaan negeri, namun rundingan itu belum dimulakan.
“GRS adalah peneraju utama kerajaan negeri. Jadi, kita akan bincang dengan mereka akan agihan kerusi yang akan dipertandingkan.
“Kita berharap kawan-kawan kita dalam kerajaan, parti-parti itu mestilah rasional dan kita akan tempatkan calon-calon mereka yang boleh menang dalam pilihan raya nanti,” katanya.



