KOTA KINABALU: Dua kemenangan yang diraih Sabah FC dalam dua aksi awal Liga Super musim ini belum boleh dijadikan ukuran kekuatan sebenar pasukan apabila mereka bakal berdepan Selangor FC dalam saingan Piala FA, Rabu depan.
Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata, pertemuan dengan Selangor di Stadium Likas itu akan menjadi ujian lebih besar buat skuad kendaliannya selepas mencatat kemenangan ke atas Star City FC dan Penang City.
Menurutnya, masih banyak aspek permainan Sabah FC yang perlu diperbaiki meskipun Sang Badak membuka kempen Liga Super dengan dua kemenangan berturut-turut.
“Sentiasa ada banyak perkara yang perlu diperbaiki. Ini baru perlawanan kedua dalam Liga Super dan selepas ini kita mempunyai perlawanan yang sukar pastinya menentang Selangor.
“Kita lihat bagaimana prestasi Sabah FC menentang mereka (Selangor) nanti dan kita akan cuba belajar selepas setiap perlawanan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Sabah FC menentang Penang City di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Sabah FC mencatat kemenangan 2-0 ke atas Penang City dalam aksi yang berlangsung dalam keadaan padang kurang selesa susulan hujan lebat dan angin.
Kemenangan itu menyaksikan Sabah FC mengumpul enam mata daripada dua perlawanan untuk berada di tangga ketiga Liga Super setakat malam tadi.
Garrido bagaimanapun mahu anak buahnya mengekalkan momentum positif yang dipamerkan dalam dua perlawanan awal berkenaan ketika berdepan Selangor nanti.
Katanya, perlawanan menentang pasukan berstatus besar seperti Selangor juga dijangka mendapat perhatian lebih ramai penyokong Sabah FC yang mahu melihat kemampuan sebenar Sang Badak.
“Saya rasa selepas dua perlawanan ini lebih ramai orang akan datang ke Stadium Likas terutama perlawanan besar yang akan dihadapi Sabah FC nanti.
“Kita berharap cuaca pada perlawanan itu nanti lebih baik berbanding malam ini supaya keadaan padang lebih baik dan kita dapat memberikan persembahan yang baik pada Rabu depan,” katanya.
Dalam pada itu, Garrido turut mengakui keadaan padang yang becak dan licin akibat hujan lebat menyukarkan Sabah FC untuk menampilkan permainan seperti yang dirancang.
Menurutnya, keadaan padang pada separuh masa kedua khususnya agak teruk dan perlu diperbaiki bagi memastikan corak permainan pasukan tidak terjejas.
“Kita menjangkakan konteks yang berbeza berbanding perlawanan sebelum ini, tetapi cuaca mengejutkan kami. Jadi, ia tidak mudah dan saya rasa syukur kita mendapat bahagian padang yang lebih baik pada separuh masa pertama dan berjaya mendapat kelebihan.
“Separuh masa kedua, padang sangat teruk, jadi saya harap ia boleh diperbaiki kerana untuk gaya permainan kita, adalah sangat penting untuk mempunyai padang yang baik supaya peminat dapat menikmati persembahan yang menarik,” katanya.
Dua gol Sabah FC dalam kemenangan ke atas Penang City dijaringkan Gonzalo Ignacio Di Renzo pada minit ke-40 sebelum Abdul Hanafie Tokyo Abdul Hasim menggandakan kelebihan pada minit ke-53.



