Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Literasi politik dalam kalangan belia bukan semata-mata berkaitan politik kepartian, sebaliknya penting untuk memberi kefahaman mengenai proses pembentukan dasar, hak bersuara serta peranan mereka dalam masyarakat dan pentadbiran negeri.
Setiausaha Agung Majlis Belia Sabah (MBS), Edith Clerisa Marimo berkata, pendekatan itu antara perkara yang diberi perhatian menerusi pelaksanaan Dewan Belia Sabah sebagai platform untuk memberi ruang kepada golongan muda menyuarakan pandangan dan memahami proses membuat keputusan.
“Literasi politik ini bukan kepartian. Kita mahu belia memahami bagaimana sebenarnya sesuatu dasar itu digubal, bagaimana hak mereka untuk bersuara dan di mana platform yang boleh digunakan untuk menyampaikan pandangan.
“Kita tidak membawa belia ke arah kepartian, tetapi memberi ruang kepada mereka untuk merasai sendiri platform yang ada dan memahami bagaimana suara mereka boleh disampaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Penangguhan Dewan Belia Sabah Sesi 2023 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, malam Sabtu.
Menurut Edith, pelaksanaan Dewan Belia Sabah Sesi 2023 yang bermula sejak 2023 berjaya memberi ruang kepada belia untuk menyuarakan pandangan, selain mengenal pasti keperluan serta aspirasi mereka.
Katanya, antara perkara yang disuarakan ialah permintaan supaya lebih banyak ruang dan kemudahan disediakan untuk golongan belia, termasuk Rumah Belia Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Hasil daripada Dewan Belia Sabah, kita mendengar suara dan permintaan mereka supaya diwujudkan lebih banyak ruang untuk belia, termasuk Rumah Belia SMJ.
“Ini menunjukkan apabila kita menyediakan ruang, peluang dan platform, belia sebenarnya mempunyai banyak perkara yang ingin disuarakan,” katanya.
Beliau berkata, suara dan pandangan yang dikemukakan melalui Dewan Belia Sabah turut membuka ruang kepada pihak kementerian untuk menambah baik program serta menyediakan lebih banyak platform interaksi bersama golongan muda.
Katanya, pendekatan itu turut diperluaskan melalui penglibatan Majlis Belia Bahagian serta penggunaan platform digital termasuk podcast bagi mendapatkan pandangan belia secara lebih langsung.
“Saya melihat ini sebagai satu input dan penambahbaikan yang penting kerana mungkin pada masa akan datang kita boleh memberi lebih banyak ruang kepada belia untuk berbincang mengenai penambahbaikan Dewan Belia seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Edith berkata, pendaftaran bagi Dewan Belia Sabah sesi baharu dijangka dibuka pada 1 September, manakala persidangan dijadualkan berlangsung pada awal November.
Bagaimanapun, katanya, beberapa perkara termasuk had umur penyertaan masih dalam perbincangan sebelum keputusan dimuktamadkan.
“Kalau sebelum ini had umur ialah 35 tahun ke bawah, kita masih mempertimbangkan sama ada untuk kekal pada 35 tahun atau diturunkan kepada 30 tahun ke bawah.
“Kita masih membuat tinjauan dalam kalangan belia untuk melihat apa yang mereka mahukan,” katanya.
Menurutnya, faktor geografi dan tahap kematangan belia di Sabah yang berbeza antara kawasan turut perlu diambil kira dalam menentukan had umur penyertaan.
“Keadaan geografi di Sabah tidak sama. Kita perlu mengakui bahawa tahap literasi politik di sesetengah kawasan, terutama pedalaman, mungkin berbeza.
“Jadi kita masih membuat tinjauan dan akan memuktamadkan had umur itu berdasarkan pandangan serta maklum balas yang diterima,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut akan mendapatkan pandangan Jabatan Belia dan Sukan (JBS), Kementerian Belia dan Sukan dan beberapa pihak berkaitan termasuk Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum keputusan dibuat.
Katanya, paling penting ialah mendapatkan maklum balas daripada golongan belia sendiri supaya pelaksanaan Dewan Belia Sabah benar-benar memenuhi keperluan mereka.
Sementara itu, mengulas mengenai penyertaan belia daripada pelbagai latar belakang politik termasuk pembangkang, Edith berkata, Dewan Belia Sabah terbuka kepada semua belia tanpa mengira kecenderungan politik.
“Secara umumnya, kita tidak bergerak ke arah kepartian. Kita memberi ruang kepada semua belia.
“Kita tidak pernah mengatakan hanya belia daripada pihak tertentu sahaja boleh menyertai. Kita mahu semua belia merasai sendiri platform ini dan memahami di mana sebenarnya ruang untuk mereka bersuara,” katanya.
Beliau berkata, keterangkuman itu penting bagi memastikan Dewan Belia Sabah menjadi platform yang mewakili suara generasi muda secara lebih menyeluruh.
“Lagi ramai yang terlibat, lagi baik kerana kita dapat mendengar lebih banyak pandangan dan perspektif daripada belia Sabah,” katanya.



