HomeUtamaEmpat acara Para SUKMA Selangor ditangguhkan akibat jerebu

Empat acara Para SUKMA Selangor ditangguhkan akibat jerebu

Read Time:1 Minute, 17 Second

SHAH ALAM : Empat acara Para Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung hari ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Bacaan IPU di Shah Alam dan Klang direkodkan pada paras 169 setakat tengah hari tadi, sekali gus mendorong Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 mengambil langkah berkenaan bagi menjaga keselamatan serta kesihatan atlet dan semua pihak yang terlibat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, Mohd Najwan Halimi, berkata keputusan itu dibuat selepas pihak penganjur menerima nasihat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta jawatankuasa khas teknikal yang memantau keadaan dari semasa ke semasa.

“Pada pukul 12 tengah hari ini, bacaan IPU di Shah Alam dan Klang menunjukkan paras tidak sihat iaitu 169.

“Keadaan itu memaksa pihak penganjur menangguhkan empat acara Para SUKMA, iaitu para olahraga di Stadium UiTM, para renang di Kompleks Akuatik Selangor, para memanah di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Selangor (KOMBES) serta boling padang di Bayuemas, Klang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, keputusan untuk meneruskan semula acara yang ditangguhkan akan dibuat berdasarkan perkembangan terkini bacaan IPU di lokasi pertandingan.

“Pemakluman mengenai penangguhan serta tarikh dan masa acara dijalankan semula akan dibuat dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan IPU di kawasan pertandingan,” katanya.

Saingan Para SUKMA Selangor 2026 bermula semalam dengan pelbagai acara dipertandingkan, manakala antara acara yang dijadualkan berlangsung pada sesi pagi hari ini ialah para olahraga, powerlifting, para memanah, para badminton, boccia, ping pong, catur dan boling padang.

RELATED ARTICLES
Utama

Indeks UV Kota Kinabalu capai tahap ekstrem

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular