Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Diari yang ditulis sendiri oleh Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dan merekodkan pelbagai kesukaran dihadapinya merupakan data sebelum kematian yang paling kritikal.
Pakar Perunding Psikiatri Forensik Dr Chua Sze Hung berkata penilaian terhadap ibu bapa yang masih hidup (a surviving parent) bukan pengganti yang sesuai dari segi klinikal atau metodologi bagi penilaian retrospektif terhadap keadaan mental remaja yang telah meninggal dunia.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali Nahra Dollah sama ada penilaian terhadap ibu bapa yang masih hidup boleh menjadi pengganti kepada penilaian keadaan mental remaja yang telah meninggal dunia.
Soalan itu merujuk kepada Pakar Perunding Psikiatri Dr Simon Wong yang memperuntukkan satu bahagian dalam laporannya bagi “Penilaian Psikiatri Terhadap Ibu”, berdasarkan temu bual yang dijalankan pada 5 Januari lalu, hampir enam bulan selepas kematian Zara.
“Dalam konteks dan kerangka bedah siasat psikologi (psychological autopsy), penilaian terhadap ibu tidak diperlukan. Fokusnya adalah untuk membantu mahkamah menentukan cara kematian si mati dan pendekatan yang perlu digunakan adalah bedah siasat psikologi.
“Penilaian terhadap ibu bapa yang masih hidup bukan pengganti yang sesuai dari segi klinikal atau metodologi bagi penilaian retrospektif terhadap keadaan mental remaja yang meninggal dunia,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurutnya lagi, dalam psikiatri forensik, cubaan menggantikan satu dengan yang lain merupakan kesilapan kategori (category error), iaitu ketidakpadanan klinikal yang mencampuradukkan dua subjek, garis masa dan realiti psikologi yang berbeza. Kedua-duanya adalah dua subjek klinikal yang berbeza.
Dr Chua berkata garis masa Zara adalah retrospektif dan berkaitan dengan cara kematiannya, manakala penilaian terhadap ibunya yang dilakukan hampir enam bulan selepas kejadian menilai keadaan mental semasa ibu Zara.
“Diagnosis atau ketiadaan diagnosis psikiatri secara keratan rentas terhadap keadaan mental semasa ibu hanya sedikit membantu dalam memahami beban simptom yang dialami remaja berkenaan dan niat terakhirnya untuk mengakhiri nyawa,” katanya.
Menurut Dr Chua, literatur forensik memberi amaran bahawa individu yang masih hidup dalam siasatan kematian boleh menjadi pihak berkepentingan dan ingatan mereka boleh dipengaruhi oleh rasa bersalah, marah dan malu.
“Diari yang ditulis sendiri oleh remaja berkenaan, yang merekodkan pelbagai kesukaran dihadapinya, merupakan data sebelum kematian yang paling kritikal dan tidak tercemar (most critical and uncontaminated premortem data),” katanya.
Zara, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 dan disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth.
Inkues yang bermula pada 3 September 2025 sudah mendengar keterangan pelbagai saksi termasuk pelajar, guru, pegawai polis, pakar patologi forensik, pakar psikiatri dan pemeriksa dokumen forensik.



