Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Golongan profesional muda Sabah diseru berani keluar daripada zon selesa dan merebut peluang mengikuti IATSS Forum Japan, program pembangunan kepimpinan antarabangsa yang menawarkan pengalaman selama lapan minggu di Jepun.


Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan IATSS Forum Japan Malaysia, Datuk Zuraidah Atan, berkata program itu memberi peluang kepada golongan profesional muda memperluas perspektif, membina jaringan antarabangsa dan meningkatkan keupayaan kepimpinan melalui pengalaman secara langsung di Jepun.
Katanya, program itu terbuka kepada warganegara Malaysia berusia bawah 35 tahun yang mempunyai sekurang-kurangnya dua tahun pengalaman bekerja.
“Jangan menolak diri sendiri. Mohon dan biarkan proses pemilihan menentukan potensi anda,” katanya ketika ditemui Sabah Media pada Rabu.
IATSS Forum merupakan program latihan kepimpinan yang ditubuhkan pada 1985 untuk membangunkan pemimpin masa depan Asia, dengan peserta daripada negara ASEAN dan India.
Program itu bernaung di bawah International Association of Traffic and Safety Sciences (IATSS), yang turut memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan berkaitan sistem pengangkutan serta keselamatan trafik.
Menurut Zuraidah, program berkenaan bukan sekadar latihan kepimpinan, sebaliknya memberi peluang kepada peserta mempelajari budaya, pengurusan, pendidikan, kelestarian dan pendekatan Jepun dalam menangani pelbagai cabaran masyarakat.
Katanya, alumni program turut digalakkan memberi kembali kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif, termasuk keselamatan jalan raya, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Beliau berkata, antara contoh kejayaan ialah pelaksanaan program pembangunan komuniti di Kampung Malubang, Pitas, yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kepimpinan belia dan pelancongan berasaskan komuniti.
“Melalui inisiatif itu, murid sekolah dilatih menjadi pemandu pelancong sukarela menerusi Malubang Tours, termasuk diberikan pendedahan dalam bahasa Inggeris dan kemahiran asas membawa pelancong mengenali kampung mereka.
“Pelajar dilatih untuk memperkenalkan kampung mereka kepada pelancong dan kemudiannya berpeluang membawa pelancong sebenar mengenali kawasan berkenaan,” katanya.
Menurutnya, program itu turut meningkatkan keyakinan guru dan pelajar serta membuka ruang kepada komuniti setempat untuk melihat potensi pelancongan di kawasan mereka.
“Malubang mempunyai pantai yang cantik dan masih terpelihara. Potensi ini boleh dikembangkan melalui pelancongan berasaskan komuniti dengan penduduk tempatan menjadi penggerak utama.
“Selain projek keselamatan trafik di yang telah dilaksanakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghimpunkan seluruh peserta dari universiti dan kolej yang terdapat di Malaysia dan beberapa projek kecil yang lain, namun projek Pitas merupakan antara projek utama kami kerana mendapat pembiayaan daripada pihak Jepun.” katanya.
Dalam pada itu, Zuraidah mahu lebih ramai anak muda Sabah tampil memohon IATSS Forum, khususnya mereka yang mempunyai keinginan untuk mencabar diri dan mendapatkan pengalaman di peringkat antarabangsa.
Katanya, Sabah mempunyai ramai profesional muda berpotensi dalam pelbagai bidang, namun sebahagian daripada mereka mungkin tidak pernah mempertimbangkan peluang seperti itu.
“Anak muda Sabah mempunyai pengalaman, idea dan perspektif tersendiri untuk dikongsi bersama Asia. Mereka bukan hanya datang untuk belajar, tetapi juga membawa suara Sabah ke peringkat lebih luas,” katanya.
Program IATSS Forum 2027 akan berlangsung dalam dua sesi, masing-masing selama lapan minggu, pada Mei dan September 2027.
Permohonan dibuka sehingga 30 September 2026 dan hanya empat peserta dari Malaysia akan dipilih.
Permohonan dan maklumat lanjut boleh diperoleh melalui IATSS Forum Japan.
Untuk pertanyaan, hubungi Razman Durhan di talian +60 16-892 2210 atau e-mel iatss_forum@um.edu.my.



