KOTA KINABALU : Kontinjen Para Sabah semakin hampir mencapai sasaran 66 pingat emas pada Para SUKMA 2026, namun hasrat untuk merampas kembali kejuaraan keseluruhan dilihat semakin sukar selepas ketinggalan jauh daripada tuan rumah Selangor.
Sehingga jam 7 malam hari ini, Sabah mengumpul 60 emas, 43 perak dan 37 gangsa, dengan hanya satu hari saingan berbaki.
Sabah yang muncul juara keseluruhan pada edisi 2022 kini berada di kedudukan kedua carta pungutan pingat, manakala Selangor terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas dengan 70 emas, 43 perak dan 42 gangsa.
Sarawak pula kekal di tempat ketiga dengan 42 emas, 27 perak dan 44 gangsa.
Dengan perbezaan 10 emas berbanding Selangor serta hanya satu hari pertandingan berbaki, peluang Sabah untuk merampas kembali takhta keseluruhan kini semakin tipis.
Bagaimanapun, kontinjen negeri itu terus menampilkan prestasi cemerlang pada hari penentuan apabila para olahraga dan para renang menyumbang 14 daripada 15 emas yang diraih Sabah hari ini.
Dalam para olahraga, Sabah mengumpul lapan emas, empat perak dan empat gangsa, dengan atlet kebangsaan Ivan Jovic Suan antara penyumbang utama.
Bertanding dalam klasifikasi T42/T43/T44, Ivan melengkapkan kuasa tiga acara pecut apabila memenangi emas 100 meter lelaki, selepas sebelum ini turut mengungguli acara 200 dan 400 meter.
Turut menyumbang emas ialah Mukhriz Ameer Izzudin Abdul Rauf dalam acara 100 meter T47 lelaki, Fredechi Asri (rejam lembing F40 wanita), Adelleein Martin (lempar cakera F44/F64 lelaki), Shamli Waidi (lempar cakera F35/F36 lelaki), Frederica Joirey (rejam lembing F41 wanita), Jericho Hedryld Harry (rejam lembing F46 lelaki) dan Doriah Paulus (rejam lembing F44/F64 wanita).
Jericho turut mencipta rekod kejohanan menerusi catatan 37.81 meter dalam acara rejam lembing F46 lelaki.
Dalam para renang pula, Sabah menambah enam emas, empat perak dan tiga gangsa.
Abd Halim Mohammad muncul antara penyumbang terbesar apabila meraih dua emas selain mencipta dua rekod kebangsaan baharu.
Beliau memenangi acara 100 meter gaya bebas S9 lelaki dengan catatan 1 minit 4.11 saat sebelum kembali beraksi dalam acara 50 meter gaya bebas dan mencatat masa 28.01 saat untuk memecahkan rekod kebangsaan.
Atlet kebangsaan Ethan Khoo Yin Jiun turut menyumbang dua emas, termasuk emas 200 meter rampaian individu (IM) SM14 lelaki menerusi catatan rekod kebangsaan baharu 2:21.02 saat.
Beliau turut memenangi emas 50 meter kuak lentang.
Wahyu Eqwal Nazrey pula mencipta rekod kebangsaan baharu dalam acara 50 meter kuak lentang S5 lelaki dengan catatan 41.50 saat.
Satu lagi emas para renang disumbangkan Jonathan Wong Zee Siang menerusi acara 200 meter gaya bebas S4/S5 lelaki.
Sementara itu, Sabah turut meraih emas pertama dalam acara powerlifting pada temasya kali ini menerusi Mohd Fauzan Ramlan, yang muncul juara kategori 107 kilogram lelaki dengan angkatan terbaik 165 kilogram.
Dengan 60 emas, Sabah kini hanya memerlukan enam lagi pingat emas untuk mencapai sasaran 66 emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Sasaran itu masih berada dalam jangkauan sekiranya atlet Sabah mampu mengekalkan momentum pada hari terakhir.
Namun, misi untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan jauh lebih mencabar dengan Selangor kini mendahului 10 emas.



