HomeUtamaIbu maut dipercayai ditikam anak kandung

Ibu maut dipercayai ditikam anak kandung

Read Time:1 Minute, 6 Second

TAMBUNAN: Seorang wanita berusia 56 tahun ditemukan maut dipercayai akibat kecederaan terkena senjata tajam dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir, berkata pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 2 petang, pada Jumaat (11 Sep).

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan yang dipercayai akibat senjata tajam.

“Susulan kejadian itu, polis mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga anak kandung mangsa.

“Suspek kemudian berjaya dikesan dan ditahan penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan, sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan menggunakan kenderaan penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, sebaik tiba di perkarangan Balai Polis Tambunan, tangkapan rasmi terhadap suspek dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.

Beliau berkata, pasukan penyiasat dan forensik turut menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Erwansyah berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta mendapatkan gambaran penuh mengenai kronologi kejadian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kes berkenaan.

“Kerjasama orang ramai amat dihargai,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Penunggang motosikal maut terbabas di Bulatan 360

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular