PENAMPANG: Seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Kilometer 1.8, Bulatan 360, Jalan Bundusan, di sini, awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintenden Arisanti Aziz, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi ketika mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Donggongon menuju ke Jalan Bundusan.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui bulatan sebelum terbabas.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arisanti berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan dan had laju ditetapkan serta meningkatkan kewaspadaan, khususnya ketika melalui selekoh dan bulatan.
Penunggang motosikal juga dinasihatkan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.



