KUALA LUMPUR — Persatuan Peguam Katolik Kuala Lumpur (CLSKL) mengecam kenyataan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said, yang didakwa memperlekeh paderi, biarawati dan kitab suci agama Kristian ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO, 12 September lalu.
Dalam satu kenyataan media, CLSKL mendakwa Noorazli telah menceritakan jenaka berunsur seksual melibatkan seorang paderi Katolik dan biarawati serta mengaitkannya secara tidak benar dengan Mazmur 129.
Menurut persatuan itu, Mazmur 129 tidak mengandungi perkara seperti yang digambarkan, sebaliknya menyentuh tentang pembebasan dan kemenangan golongan yang benar dalam menghadapi penderitaan serta penindasan.
“Pengaitan yang direka itu bukan sahaja tidak tepat dari segi fakta, malah merupakan penyimpangan terhadap kitab suci untuk dijadikan bahan jenaka kasar sehingga menyinggung perasaan masyarakat Katolik dan penganut Kristian secara keseluruhannya,” kata CLSKL.
Persatuan itu turut menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai mencemarkan martabat golongan paderi dan mereka yang menjalani kehidupan bakti keagamaan, yang dipandang tinggi dalam ajaran Katolik.
CLSKL berkata perbuatan sedemikian amat tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila dilakukan di hadapan khalayak ramai dalam sebuah perhimpunan politik nasional.
Persatuan tersebut turut mengingatkan semua tokoh awam mengenai prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, yang mencerminkan penghormatan negara terhadap agama serta keharmonian antara penganut pelbagai kepercayaan.
Menurutnya, perbuatan mempermainkan atau memesongkan kitab suci dan tokoh agama juga bertentangan dengan prinsip Kesopanan dan Kesusilaan serta boleh menjejaskan semangat saling menghormati dan keharmonian kaum serta agama.
CLSKL berpandangan kenyataan tersebut mungkin mempunyai implikasi undang-undang, bergantung pada konteks penuh ucapan dan cara ia disebarkan.
Katanya, sekiranya kandungan berkenaan dimuat naik atau disebarkan melalui Facebook atau platform dalam talian lain, pihak berkuasa juga boleh meneliti sama ada terdapat sebarang kesalahan di bawah undang-undang yang terpakai, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sehubungan itu, CLSKL menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia menyiasat perkara berkenaan.
Persatuan tersebut turut menuntut Noorazli supaya segera menarik balik kenyataannya, membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Katolik dan semua pihak yang tersinggung, serta tidak lagi menggunakan kitab suci atau tokoh daripada mana-mana agama sebagai bahan retorik politik atau jenaka.
“CLSKL menegaskan semula komitmennya terhadap sikap saling menghormati dan memahami antara agama serta menyeru semua tokoh awam supaya lebih sensitif dan bertanggungjawab apabila menyentuh perkara berkaitan agama,” katanya.


