Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang warga Jerman dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan memasuki Sabah secara tidak sah dan menghalang pegawai imigresen dalam menjalankan tugasnya.
Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Kuecuekboga Suleyman selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah ketika perbicaraan sedang berlangsung.
Sebelum tertuduh menukar pengakuannya, pihak pendakwaan sudah memanggil tiga saksi untuk memberi keterangan.
Bagi pertuduhan pertama, Suleyman dijatuhi hukuman penjara enam bulan memasuki Sabah tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di Jabatan Imigresen di Jalan UMS di sini pada jam 8.50 pagi, 27 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan lagi kerana menghalang secara pasif seorang pegawai imigresen dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai penyiasat dengan enggan diambil rakaman percakapan bagitujuan siasatan di depot Imigresen di sini pada jam 4.30 petang, 5 Mei lalu.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan secara berasingan dari tarikh sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
LINK BERITA TERDAHULU:



