HomeUtamaAgama Bukan Bahan Jenaka, Hormati Sensitiviti Masyarakat — Aaron

Agama Bukan Bahan Jenaka, Hormati Sensitiviti Masyarakat — Aaron

Read Time:1 Minute, 20 Second

PUTRAJAYA – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menegaskan bahawa agama tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka dan semua pihak perlu menghormati sensitiviti masyarakat berbilang agama di negara ini.

Dalam satu kenyataan, beliau memandang serius kontroversi berhubung ucapan yang menjadikan paderi Katolik dan biarawati sebagai bahan jenaka ketika Perhimpunan Agung UMNO 2026.

Menurutnya, apa juga niat di sebalik sesuatu analogi, jenaka yang menyentuh institusi keagamaan, agamawan, kitab suci atau kepercayaan penganut tidak boleh dianggap remeh.

“Agama bukan bahan jenaka,” tegasnya.

Aaron berkata, perkara yang dianggap suci oleh sesuatu komuniti tidak wajar dipersenda atau dijadikan gurauan berunsur seksual semata-mata untuk mendapatkan gelak ketawa dan tepukan.

Beliau berkata, perbuatan sedemikian boleh menyinggung perasaan penganut agama serta menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Kebebasan untuk berucap, berpolitik atau berjenaka tidak pernah bermaksud kita bebas melanggar sensitiviti agama dan kepercayaan orang lain,” katanya.

Beliau menegaskan prinsip itu mesti terpakai kepada semua pihak tanpa mengira agama, kaum, kedudukan atau fahaman politik.

Sehubungan itu, Aaron meminta kementerian dan agensi penguatkuasaan berkaitan meneliti perkara berkenaan serta menjalankan siasatan sewajarnya sekiranya terdapat unsur pelanggaran undang-undang.

Dalam kenyataannya, beliau turut merujuk Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta peruntukan berkaitan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sebagai antara peruntukan untuk diteliti.

Aaron turut mengambil maklum kesediaan individu terbabit untuk memohon maaf dan berharap kontroversi itu menjadi pengajaran kepada pemimpin, penceramah serta masyarakat supaya lebih berhati-hati memilih kata-kata.

Katanya, usaha menjaga adab, tutur kata dan tingkah laku selaras dengan prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Beliau menegaskan prinsip itu menjadi asas penting untuk memastikan perbezaan dihormati, sensitiviti dipelihara dan keharmonian negara terus dipertahankan.

RELATED ARTICLES
Utama

Kota Kinabalu berpotensi jadi bandar mesra warga emas Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular