HomePendapatIsu Baja Padi Yang Meresahkan Rakyat

Isu Baja Padi Yang Meresahkan Rakyat

Read Time:7 Minute, 42 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Industri padi negara masih dibelenggu dengan isu-isu legasi yang berterusan menjejaskan agenda keterjaminan makanan negara. Lebih malang lagi, pesawah kekal terperangkap di dalam penjara kemiskinan. Dan rakyat pula terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan dan harga beras.

Beberapa hari lepas, semasa Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur & Agropelancongan Malaysia 2026 (MAHA2026), Perdana Menteri Malaysia dilaporkan telah meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meneliti isu kelewatan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Menariknya, dua tahun lepas pada bulan September 2024, di pentas sama MAHA2024, Perdana Menteri Malaysia telah menegaskan bahawa amalan monopoli dan kartel baja serta benih di dalam sektor pertanian negara mesti dihentikan segera.

Pada pertengahan bulan Ogos 2026, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) telah mengadakan Himpunan Bersih di Jerlun, bagi menyuarakan isu kelewatan bekalan baja

Menurut PeSAWAH, sekitar 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA masih belum menerima Baja Hanya sekitar 120,000 (20%) daripada 600,000 kampit Baja 3 telah diagihkan kepada pesawah di 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di kawasan MADA.

PeSAWAH telah meminta KPKM untuk menamatkan kontrak pembekal yang lewat membekalkan baja.  Seperti dicadangkan terdahulu, PeSAWAH mahu kontrak pembekalan baja ini diserahkan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Selain itu, ada pesawah yang mengadu baja yang diterima kurang berkualiti, dengan kandungan baja yang banyak berhabuk dan menyebabkan proses pembajaan menggunakan dron menjadi sukar.

PEMBAJAAN PADI

Fakta menarik. Baja 3 diperlukan apabila padi memasuki peringkat reproduktif, di antara 40 – 60 lepas tabur/ tanam, bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian biji padi. Tumbesaran padi akan terbantut jika tidak menerima baja mengikut jadual, dan hasil padi akan merosot. 

Susulan itu, MADA memaklumkan, setakat 18 Ogos 2026, sebanyak 137,560 (22%) daripada keseluruhan 616,015 kampit Baja 3 telah diagihkan. MADA akan mengawasi dan memastikan baki 478,455 kampit Baja 3 akan diagihkan kepada pesawah sebelum tempoh pengagihan berakhir pada 1 Oktober 2026.

Baki bekalan ini melibatkan sekitar 38,000 pesawah, dengan keluasan tanaman sekitar 78,117 hektar.

MADA turut mengakui kualiti baja yang tidak bagus seperti yang disuarakan oleh pesawah. Analisis makmal menunjukkan ketidaksegaraman kualiti fizikal baja, terutamanya saiz butiran dan kandungan habuk. Dengan itu, MADA telah mengarahkan pembekal terbabit memastikan baja yang dibekalkan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Seterusnya, pada awal bulan September 2026, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia dilaporkan berkata baki bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan MADA akan mula diagihkan bermula 3 September 2026, dan disasarkan selesai dalam tempoh masa sepuluh hari.

Beliau menyatakan, setelah mendapat persetujuan Perdana Menteri Malaysia, pengagihan baja tersebut akan dilaksanakan oleh NPK Fertilizer Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Seiringan, dengan persetujuan Perdana Menteri Malaysia, beliau memaklumkan perkhidmatan syarikat Taveekun Manufacturing Sdn Bhd bagi pembekalan Baja 3 telah ditamatkan pada penghujung bulan Ogos 2026.

SIASATAN SPRM

Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia menyatakan siasatan SPRM penting bagi merungkai punca isu bekalan Baja 3 berkenaan. SPRM wajar melakukan audit menyeluruh, dengan merangkumi proses perolehan, pembekalan, pemantauan, terma kontrak serta spesifikasi dan kualiti baja.

Beliau turut menggesa bayaran ganti rugi kepada pesawah yang terjejas.

 Malah, beliau menyatakan pembekalan baja pada ketika ini adalah sia-sia kerana ada usia tanaman padi sudah pun melepasi 80 hari, dan ada kawasan sudah di dalam proses menuai.

Oleh kerana kelewatan pembekalan baja berkenaan, pesawah telah mengalami kemerosotan hasil 20 – 40%.

Manakala, ADUN Pengkalan Kundor telah menggesa kerajaan mengambil tiga tindakan segera bagi menangani isu kelewatan pembekalan baja berkenaan, iaitu; agihan segera baja kepada pesawah; membayar ganti rugi kepada pesawah terbabit; dan tindakan terhadap syarikat yang gagal mematuhi terma kontrak perjanjian.

SISTEM PELINDUNG

Sebenarnya, pesawah negara berlindung di bawah skim insuran pertanian, iaitu Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) yang disediakan oleh Agrobank. Namun begitu, kemungkinan besar pesawah terbabit tidak boleh menerima sebarang pampasan berkaitan isu kelewatan baja ini.

Berdasarkan maklumat di laman sesawang Agrobank, STTP menyediakan bantuan kewangan kepada pesawah yang mengalami kerosakan atau kerugian kekal pada tanaman padi akibat bencana alam, perosak tanaman dan penyakit.

Fakta menarik. Skim Takaful Tanaman Padi (STTP)  telah dilancarkan oleh Agrobank pada bulan September 2024, dengan sokongan penuh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia (KPKM). STTP merupakan skim takaful patuh syariah pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

Sumber: www.agrobank.com.my/product/skim-takaful-tanaman-padi

Oleh yang demikian, pesawah terbabit terpaksa menanggung kerugian besar, kecuali pampasan dapat diberikan oleh kerajaan. Pada masa sama, Agrobank wajar mempertimbang untuk menambah kelewatan pembekalan input pertanian seperti baja sebagai satu lagi perkara lindungan di bawah STTP.

BUKAN ISU BARU

Malangnya, isu pembekalan baja ini bukanlah satu isu yang baru. Tetapi ianya merupakan satu isu yang sering berlaku. Sebagai contoh, pada bulan Jun 2019, media Berita Harian telah mendedahkan kebocoran skim subsidi baja negara, dengan kerugian jutaan Ringgit setiap tahun.

Menurut Berita Harian, antara punca kebocoran berkenaan ialah rasuah, aktiviti menyorok dan penjualan baja, serta campur tangan politik.

                                                         Sumber: Berita Harian @ 24 Jun 2019

Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022) pula telah menonjolkan kelemahan serius pengurusan pembekalan baja kepada pesawah, di mana tempoh lewat pembekalan baja kepada pesawah pada Musim 1/2022 mencapai 155 hari.

Berdasarkan LKAN 2022, MADA telah merekodkan tempoh lewat yang paling ketara berbanding jelapang padi yang lain. Bagi Baja 1, tempoh lewat adalah di antara 6 – 155 hari. Bagi Baja 3 pula, tempoh lewat adalah di antara 6 – 115 hari.

Di samping itu, LKAN 2022 turut menunjukkan denda telah dikenakan oleh KPKM ke atas pembekal baja terbabit. Sepanjang tempoh masa tiga tahun (2016 – 2018), jumlah denda tersebut ialah RM 195.44 juta. Dan sepanjang tempoh masa 2020 – 2022, jumlah denda melebihi RM 150 juta.

Jumlah denda yang begitu besar jelas menggambarkan kelemahan serius pengurusan pembekalan baja, yang melibatkan ramai pesawah dan kawasan padi yang luas. Maka, tidaklah mengejutkan hasil padi kekal rendah dan pesawah kekal miskin sehingga kini.

Mengejutkan, LKAN 2022 mendedahkan, pada tahun 2021, KPKM telah memberi pengecualian penuh kepada pembekal baja terbabit daripada membayar denda tersebut bagi tempoh masa 2016 – 2019 berjumlah RM 211.27 juta, iaitu RM 195.43 juta (2016 – 2018) dan RM 15.84 juta (2019).

Tanpa berselindung, LKAN 2022 merekodkan Pendapat Audit bahawa pengecualian denda tersebut adalah tidak wajar.

Tiada sebab dinyatakan kenapa pengecualian penuh telah diberikan kepada pembekal baja terbabit. Apa-apa pun, pengecualian denda tersebut seolah-olah memberi gambaran bahawa kepentingan dan kesejahteraan pembekal baja adalah lebih penting berbanding pesawah.  

 Sewajarnya, denda yang dikenakan kepada pembekal baja disalurkan oleh kerajaan kepada pesawah sebagai pampasan ke atas kerugian yang dialami akibat kelewatan pengagihan baja. Mudah, yang bersalah membayar denda, dan yang kerugian menerima pampasan.

PEMBEKALAN BAJA

Untuk sekian lama, pembekal utama baja padi ialah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). Sejak tahun 1998 lagi, kerajaan telah melantik NAFAS sebagai pembekal dan pengedar tunggal bagi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP). NAFAS juga membekalkan baja NPK Tambahan bagi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Baja dan Racun Padi Bukit (SBRPB).

Malangnya, NAFAS sering kali terpalit dengan isu kelemahan pengurusan dan salah laku. Isu ini menjadi sangat serius sehinggakan, pada tahun 2018, kerajaan terpaksa bertindak menggantung perlembagaan NAFAS.

Pada bulan November 2024, kerajaan sekali lagi telah menggantung perlembagaan NAFAS, berikutan siasatan SPRM berkenaan penyelewengan pembekalan baja padi negara. Dengan penggantungan ini, Pentadbir NAFAS telah dilantik untuk melaksanakan pelan pemulihan NAFAS tanpa gangguan.

Beberapa hari lepas, NAFAS memaklumkan bahawa strategi utama pemulihan ialah untuk menumpukan fokus kepada perniagaan teras. Terutamanya pengedaran input pertanian, yang merangkumi kontrak baja daripada kerajaan bernilai sekitar RM 2 bilion setahun.

Oleh kerana itu, NAFAS telah menutup operasi sebanyak 9 daripada 16 anak syarikat yang bukan perniagaan teras, termasuklah Kolej NAFAS, burung walit, ayam dan industri makanan.

Manakala, anak syarikat yang kekal beroperasi merupakan perniagaan teras melibatkan baja, racun dan input pertanian, serta industri sawit.

Semasa MAHA2026 baru-baru ini, NAFAS telah menjalin kerjasama strategik bersama dua firma China untuk membangunkan rantaian industri baja bersepadu di Malaysia. Kerjasama strategik ini akan melibatkan pelaburan berjumlah RM 1.5 bilion bagi tempoh masa lima tahun.

Antara lain, pelaburan ini melibatkan pembangunan fasiliti pemprosesan bahan mentah baja fosfat.

Sebelum ini, pada awal bulan Ogos 2026, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia mengesahkan perlembagaan NAFAS masih lagi digantung untuk memastikan pemulihan NAFAS dapat dilaksanakan secara teliti dan menyeluruh.

Proses pemulihan menyeluruh NAFAS ini boleh mengambil masa yang agak lama. Tatkala NAFAS dipulihkan sepenuhnya, isu pembekalan baja mungkin akan berlaku lagi. Justeru itu, KPKM wajar sedia bertindak pantas dan efektif apabila terdapat gangguan pembekalan baja.    

Setelah sekian lama berdepan dengan isu sama yang berulang-ulang, rata-rata pesawah sudah muak dan semakin terhakis kepercayaan kepada keupayaan KPKM menguruskan industri padi dan beras secara cekap, teratur dan tulus.

Maka, pesawah tidak boleh dipersalahkan sekiranya skeptikal terhadap  inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan oleh KPKM untuk membangunkan industri padi dan beras negara, yang masih tidak menghasilkan sebarang kejayaan.

Buktinya, Kadar Sara Diri beras negara telah merosot dengan ketara, daripada 73.2% (2015) kepada 52.9% (2024).

Ini kisah di Semenanjung, bagaimana pula dengan wilayah  kita ?

RELATED ARTICLES
Pendapat

Kupasan : Ekonomi Biru Sabah Pacu Pembangunan Negeri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular