KOTA KINABALU: Kota Kinabalu berpotensi menjadi bandar peneraju dalam usaha mewujudkan komuniti mesra warga emas di Sabah, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.
Beliau berkata usaha berkenaan memerlukan penglibatan menyeluruh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, keluarga, sektor perniagaan dan pertubuhan masyarakat.
Menurutnya, visi yang diketengahkan melalui Malaysian Conference on Healthy Ageing (MCHA) amat bertepatan dengan perkembangan demografi negara yang sedang menuju ke arah masyarakat menua.
Katanya, komuniti perlu membuat persediaan lebih awal bagi memastikan keperluan warga emas dapat dipenuhi, khususnya dari aspek kesihatan, kebajikan, sosial dan persekitaran kehidupan.
“Penuaan sihat tidak seharusnya dilihat dari sudut penjagaan kesihatan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi keterangkuman sosial, sokongan komuniti, kebebasan serta kualiti hidup.
“Mewujudkan bandar mesra warga emas memerlukan pendekatan melibatkan seluruh komuniti supaya warga emas dapat menjalani kehidupan dengan bermaruah, kekal berdikari dan terus mengambil bahagian secara bermakna dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Malaysian Conference on Healthy Ageing (MCHA) Ke-11 di sini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri, Datuk Rina Jainal.
Julita berkata perubahan profil demografi negara turut menuntut perhatian lebih besar terhadap keupayaan komuniti, ruang awam dan perkhidmatan dalam memenuhi keperluan golongan warga emas.
Katanya, berdasarkan anggaran penduduk 2025 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), penduduk berusia 60 tahun dan ke atas kini merangkumi kira-kira 12.6 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia.
“Angka ini dijangka mencapai 15 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Di bawah Dasar Warga Emas Negara, pencapaian ambang 15 peratus akan meletakkan Malaysia dalam kalangan negara menua,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata persediaan awal perlu dilaksanakan bagi memastikan perubahan demografi berkenaan dapat diurus secara berkesan dan tidak hanya ditangani apabila penuaan penduduk sudah menjadi cabaran yang lebih ketara.
Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi membolehkan warga emas terus menikmati kehidupan yang sihat, aktif dan berkualiti, selain mengekalkan hubungan erat dengan keluarga serta komuniti.
“Matlamatnya adalah untuk memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih panjang, sihat dan aktif, di samping terus mempunyai hubungan yang erat dengan keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata konsep bandar mesra warga emas juga perlu mengambil kira aspek persekitaran fizikal dan sosial yang membolehkan golongan berkenaan bergerak, berinteraksi dan menjalani kehidupan harian secara lebih selamat serta berdikari.



