HomeUtamaGaleri Polis Sabah dibuka kepada orang awam

Galeri Polis Sabah dibuka kepada orang awam

Read Time:1 Minute, 52 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah kini dibuka kepada orang awam sebagai pusat rujukan sejarah kepolisan negeri, termasuk memaparkan pelbagai artifak dan peralatan yang digunakan pasukan keselamatan sejak era penjajahan hingga zaman moden.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata pembukaan galeri itu kepada masyarakat bermula hari ini, dengan orang awam dialu-alukan untuk melihat sendiri perkembangan sejarah kepolisan di Sabah.

“Jumlah bahan yang dikumpulkan banyak. Kalau dikira setiap item, saya rasa ada beratus-ratus item,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan galeri itu kepada orang awam, di sini hari ini.

Menurutnya, antara bahan yang dipamerkan termasuk kelengkapan kepolisan, gambar dan logistik yang digunakan pihak polis mengikut perkembangan zaman, selain mesin taip, alat perhubungan serta senjata.

Antara senjata dan pakaian yang digunakan oleh pengganas Sulu semasa insiden di Tanduo pada tahun 2013 turut dipamerkan di Galeri Polis Negeri Sabah di IPK.

Katanya, galeri berkenaan turut memaparkan sejarah serta peristiwa penting yang berlaku di Sabah, termasuk peristiwa berdarah dan insiden Ops Daulat di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

“Di samping itu kita juga membuat beberapa gambaran bagaimana peristiwa-peristiwa besar itu terjadi di Sabah dan menunjukkan kepada awam berkaitan senjata yang digunakan dalam beberapa peristiwa penting,” katanya.

Jauteh berkata galeri itu dibuka setiap hari dari jam 8 pagi hingga 5 petang, namun pengunjung perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi memastikan prosedur keselamatan dipatuhi.

Katanya, nombor perhubungan pegawai yang bertanggungjawab akan disediakan bagi membolehkan orang awam menghubungi pihak galeri untuk menetapkan tarikh lawatan.

“Kalau yang datang tanpa pemakluman itu sukar sedikit kerana kawasan ini merupakan kawasan larangan. Setiap yang masuk perlu kita dokumentasikan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata lawatan boleh dibuat secara individu atau rombongan, dengan syarat pengunjung terlebih dahulu menghubungi pihak galeri dan memberikan butiran awal untuk tujuan dokumentasi.

Mengenai bayaran masuk, Jauteh berkata jumlah bayaran masih belum ditetapkan dan perkara itu akan dinilai berdasarkan perkembangan serta jumlah lawatan pada masa akan datang.

Antara bahan menarik yang dipamerkan ialah dokumen asal berkaitan Suruhanjaya Cobbold, selain pelbagai artifak sejarah kepolisan Sabah.

Galeri Polis Negeri Sabah sebelum ini dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, pada 25 Mac lalu dan berfungsi sebagai pusat rujukan sejarah serta pencapaian PDRM khususnya di Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perlu bersatu perkukuh suara negeri, pembangunan lebih seimbang – Azrul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular