HomeUtamaPolis Sabah terima 13 laporan isu ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang

Polis Sabah terima 13 laporan isu ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Polis Sabah menerima 13 laporan berkaitan isu ucapan Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said, yang didakwa menyentuh sensitiviti agama, setakat tengah hari tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata kesemua laporan yang diterima di Sabah telah dirujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di Kelana Jaya untuk tindakan lanjut pihak Bukit Aman.

“Untuk di Kontinjen Sabah, sehingga tengah hari tadi, kita telah menerima 13 laporan polis berkaitan isu berkenaan dan kesemua laporan berkenaan telah kita rujuk kepada laporan polis awal yang dibuat di Kelana Jaya.

“Siasatan dibuat oleh pihak Bukit Aman,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Galeri Polis Sabah kepada orang awam, di sini, hari ini.

Jauteh berkata, laporan berkenaan dibuat oleh pelbagai lapisan masyarakat dan tidak hanya melibatkan wakil rakyat.

Mengulas isu yang masih tular di media sosial, beliau menasihatkan masyarakat supaya tidak mengambil tindakan secara bersendirian, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus.

“Memandangkan keadaan ini masih tular dalam media massa sekarang ini, kita mengharapkan supaya masyarakat melihat perkara ini secara matang.

“Laporan-laporan polis yang telah dibuat ini telah pun diambil tindakan oleh pihak PDRM khususnya untuk memastikan bahawa siasatan yang telus dibuat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya bertindak secara bijak dan matang dalam menangani isu yang menyentuh sensitiviti 3R, iaitu agama (religion), kaum (race) dan institusi diraja (royalty).

Katanya, masyarakat tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri atau membuat sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Kita cuba mencari satu keadaan yang boleh mewujudkan ataupun boleh meyakinkan rakan-rakan yang lain di kalangan netizen supaya kita tidak mengambil tindakan secara bersendirian tetapi kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan yang telus,” katanya.

Isu berkenaan tercetus susulan ucapan Noorazli ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 yang didakwa menghina penganut agama Kristian selepas beliau menyentuh mengenai paderi dan biarawati.

Dalam ucapannya, Noorazli dilaporkan menggunakan analogi berbentuk jenaka berkaitan paderi dan biarawati bagi menggambarkan kepentingan fokus serta kebijaksanaan politik.

Berikutan ucapan berkenaan, beberapa laporan polis dibuat di pelbagai lokasi, termasuk di Sabah, sebelum kes berkenaan dirujuk kepada laporan awal yang dibuat di Kelana Jaya untuk siasatan pihak Bukit Aman.

RELATED ARTICLES
Utama

Galeri Polis Sabah dibuka kepada orang awam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular