HomeUtamaLebih 3,000 hadir meriahkan Sambutan Hari Malaysia di Sabah

Lebih 3,000 hadir meriahkan Sambutan Hari Malaysia di Sabah

Read Time:2 Minute, 14 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Lebih 3,000 orang hadir memeriahkan Sambutan Hari Malaysia peringkat Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.

Sambutan yang menampilkan pelbagai pengisian menarik itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri 1 Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri 2 Datuk Seri Masidi Manjun dan barisan Kabinet Sabah.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, berkata sambutan itu berlangsung dengan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai masyarakat.

“Alhamdulillah, sambutan Hari Malaysia telah pun sempurna dilaksanakan dengan jayanya dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman.

Jafry (kanan) ketika mengiringi Tun Musa melihat pameran sejarah penubuhan Malaysia – Foto Japen Sabah

“Program berjalan dengan baik sekali dengan dihadiri lebih 3,000 masyarakat seluruh sekitar Kota Kinabalu dan turut dihadiri Kabinet Negeri Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan berkenaan di sini.

Menurut Jafry, rata-rata pengunjung yang hadir turut menzahirkan kegembiraan dan berpuas hati dengan persembahan serta pelbagai pengisian yang disediakan.

Katanya, sambutan Hari Malaysia bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform untuk rakyat bersama-sama menyemarakkan semangat perpaduan dan kebersamaan.

“Yang penting adalah untuk kita sama-sama meraikan Hari Malaysia dengan semangat dan iltizam untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di Negeri Sabah khususnya dan di negara kita ini,” katanya.

Beliau berkata, sambutan tahun ini turut memperlihatkan penglibatan lebih ramai golongan muda dalam menjayakan persembahan dan pelbagai aktiviti yang dianjurkan.

Jafry berkata, penyertaan generasi muda itu penting bagi memastikan semangat menghargai Malaysia serta nilai perpaduan dan kebersamaan terus dipupuk dalam kalangan generasi baharu.

“Ini satu petanda bahawa kita mahu generasi muda juga terlibat sama dalam menghargai dan memupuk semangat kebersamaan sempena Hari Malaysia yang kita sambut pada malam ini,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 turut menampilkan pelbagai pengisian menarik, antaranya Sambut Tamu ‘Warna-Warni Borneo’ yang mengetengahkan kepelbagaian budaya dan identiti masyarakat Borneo.

Turut diadakan upacara menerima Jalur Gemilang daripada Konvoi Kembara Merdeka Tahun 2026, diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dengan iringan lagu Negaraku oleh Pancaragam PDRM.

Persembahan khas Malaysia MADANI ‘Kesejahteraan Dinikmati’ selama kira-kira 60 minit turut menjadi antara tarikan utama dengan menggabungkan muzik, nyanyian dan tarian yang menampilkan elemen budaya Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Persembahan berkenaan turut diserikan barisan artis tempatan termasuk Rey Guntabid, Azharina, Eylia dan Mary Grace, Edmound Chain, D. Shariff Zainal, Isobahtos, Marsha Milan dan Datuk Francis Landong serta penggiat seni tempatan lain.

Acara rasmi turut merangkumi Lafaz Penyempurnaan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 dan upacara memotong kek Hari Malaysia. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia, India Bergerak Seimbangkan Perdagangan, Kaji Semula FTA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular