KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di barat Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan berpotensi mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang berikutan penumpuan angin baratan yang kencang dijangka berlaku mulai hari ini sehingga hingga 19 September ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, keadaan berkenaan dikenal pasti menerusi analisis model-model ramalan cuaca terkini yang menunjukkan penumpuan angin baratan di beberapa kawasan di negara ini.
Menurut MetMalaysia, selain barat Sabah dan Labuan, keadaan sama turut dijangka berlaku di utara Semenanjung serta utara Sarawak dalam tempoh berkenaan.
“Keadaan ini berpotensi bagi pembentukan garis badai yang boleh membawa ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan-kawasan terbabit,” menurut kenyataan itu.
Fenomena garis badai boleh menyebabkan keadaan cuaca berubah dengan pantas, terutama apabila kelompok ribut petir terbentuk dan bergerak merentasi sesuatu kawasan.
Dalam perkembangan sama, MetMalaysia turut memberi perhatian terhadap potensi keadaan berjerebu di beberapa kawasan susulan kewujudan titik panas di rantau ini.
Berdasarkan maklumat ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), titik panas masih dikesan dalam jumlah yang banyak di selatan Sumatera dan Kalimantan.
Keadaan itu berpotensi menyumbang kepada cuaca berjerebu serta mengurangkan jarak ketampakan khususnya di selatan Semenanjung dan selatan Sarawak sepanjang tempoh ramalan.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat terkini daripada sumber rasmi MET Malaysia.
Orang ramai juga disarankan merujuk laman web rasmi MET Malaysia serta saluran media sosial jabatan bagi mendapatkan maklumat dan amaran cuaca yang sahih.
Selain itu, aplikasi myCuaca turut disarankan untuk dimuat turun bagi memudahkan orang awam mendapatkan maklumat cuaca terkini.



