HomeUtamaBBC Sabah cadang rebat elektrik hingga RM100 sebulan untuk golongan sasar

BBC Sabah cadang rebat elektrik hingga RM100 sebulan untuk golongan sasar

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah mencadangkan kerajaan memperkenalkan Skim Rebat Elektrik bersasar antara RM40 hingga RM100 sebulan bagi membantu meringankan beban golongan berpendapatan rendah susulan kenaikan tarif elektrik.

Pengerusi BBC Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, rebat berkenaan wajar disalurkan secara bersasar kepada pengguna yang benar-benar memerlukan, selaras dengan pendekatan subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI Diesel.

“Kita berharap cadangan ini dapat diterjemahkan dalam mesyuarat khas hari ini bagi meneliti langkah mitigasi susulan kenaikan bil elektrik yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“BBC berharap skim rebat ini boleh diterima pakai bagi memastikan subsidi elektrik sampai kepada golongan sasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Masiung, sekiranya mekanisme itu dipersetujui, pengguna domestik terutama penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), eKasih serta golongan B40 dan M40 boleh diberikan rebat automatik antara RM40 hingga RM100 sebulan mengikut kadar penggunaan elektrik.

Katanya, rebat berkenaan hendaklah dikreditkan terus ke dalam bil elektrik atau disalurkan ke akaun penerima, sama seperti pelaksanaan BUDI Diesel, bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang layak serta mengurangkan risiko ketirisan.

Dalam pada itu, Wakil Rakyat Kuamut itu menggesa kerajaan mengkaji semula mekanisme subsidi pukal yang diperkenalkan sebelum ini kerana manfaatnya turut dinikmati golongan berpendapatan tinggi, sektor industri dan premis mewah yang menggunakan elektrik melebihi 600 kilowatt-jam (kWh) sebulan.

Menurutnya, pendekatan subsidi bersasar perlu diberi perhatian bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Tidak adil apabila seorang nelayan yang hanya menggunakan satu kipas dan satu lampu di rumah terpaksa membayar pada kadar yang sama dengan sebuah kondominium mewah yang menggunakan enam penyaman udara.

“Subsidi elektrik wajar melindungi rakyat kurang berkemampuan, bukan turut dinikmati sama rata oleh golongan yang mempunyai gaya hidup mewah.

“Sudah tiba masanya kerajaan beralih daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar, membantu golongan kurang berkemampuan, manakala golongan kaya, industri dan premis mewah membayar pada kadar biasa,” tegasnya.

Masiung berkata, pelaksanaan rebat secara bersasar juga dapat membantu mengurangkan beban kewangan pengguna domestik berpendapatan rendah, selain memastikan peruntukan subsidi kerajaan digunakan dengan lebih berkesan.

Beliau berharap Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama Sabah Electricity dapat mempertimbangkan cadangan berkenaan dalam mesyuarat khas langkah mitigasi susulan kenaikan bil elektrik bersama Perdana Menteri hari ini.

Katanya, sebarang mekanisme bantuan yang diperkenalkan perlu memberi keutamaan kepada golongan yang benar-benar memerlukan supaya kesan kenaikan tarif tidak menjejaskan keperluan asas dan kehidupan harian rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

Hari Malaysia perkukuh semangat kebersamaan rakyat Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular