HomeUtamaHari Malaysia perkukuh semangat kebersamaan rakyat Sabah

Hari Malaysia perkukuh semangat kebersamaan rakyat Sabah

Read Time:2 Minute, 4 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia perlu terus menjadi wadah untuk memperkukuh semangat kebersamaan, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini, khususnya selepas 63 tahun pembentukan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin, berkata Hari Malaysia bukan sekadar memperingati satu tarikh penting dalam sejarah negara, sebaliknya menjadi ruang untuk rakyat memperbaharui rasa kebersamaan sebagai sebuah masyarakat yang dibina atas kepelbagaian.

Katanya, semangat berkenaan perlu terus dipelihara agar keharmonian yang dinikmati hari ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

“63 tahun selepas pembentukan Malaysia, kita kembali berhimpun di sini bukan sekadar untuk memperingati satu tarikh, tetapi untuk memperbaharui rasa kebersamaan sebagai rakyat sebuah negara yang dibina daripada kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Menurut Jafry, kehadiran rakyat dalam sambutan berkenaan membuktikan semangat patriotisme masih hidup dan Hari Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam hati rakyat Sabah.

Katanya, sambutan itu juga menjadi kesempatan untuk menghargai nilai perpaduan serta hubungan erat antara masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Menurutnya, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, turut membawa mesej bahawa pembangunan negara perlu dilihat daripada perspektif manusia dan kesejahteraan rakyat.

Tambahnya lagi, kesejahteraan bukan hanya berkaitan pembangunan fizikal, tetapi turut merangkumi peluang ekonomi, keharmonian masyarakat, keselamatan, akses kepada kemudahan, persekitaran yang sihat serta keyakinan terhadap masa depan generasi akan datang.

Beliau berkata, dalam konteks Sabah, kepelbagaian budaya masyarakat merupakan antara kekuatan penting yang mampu menyatukan rakyat.

Katanya, tarian, muzik, bahasa, adat, kraftangan, makanan dan cara hidup masyarakat Sabah bukan sekadar warisan untuk dipersembahkan, tetapi turut menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat antara satu sama lain.

“Apabila kita mengenali budaya satu sama lain, kita membina rasa hormat; apabila rasa hormat tumbuh, perpaduan menjadi lebih kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Jafry berkata, penghayatan terhadap sejarah juga penting bagi memastikan generasi muda memahami perjalanan pembentukan Malaysia serta menghargai keamanan dan perpaduan yang dinikmati pada hari ini.

Katanya, program-program yang dianjurkan sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini turut dirangka bagi membawa masyarakat lebih dekat dengan sejarah dan nilai patriotisme.

Antaranya termasuk Majlis Tahlil dan Doa Selamat, pameran sejarah oleh Arkib Negeri Sabah serta Konvoi Kembara Merdeka yang bertujuan menyemarakkan semangat cintakan negara merentas komuniti.

“Penghayatan sejarah sangat penting, khususnya kepada generasi muda.

“Kita mahu mereka memahami bahawa Malaysia yang ada hari ini dibina melalui keputusan besar, rundingan, pengorbanan dan keberanian generasi terdahulu,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

BBC Sabah cadang rebat elektrik hingga RM100 sebulan untuk golongan sasar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular